"Ini cerita tahun lepas dan tiada sebab munasabah untuk panggil (Nadzirah)," kata peguam Hanan Ishak.
PETALING JAYA: Isteri kepada aktivis Khalid Ismath, Nadzirah Yaakop dipanggil polis untuk memberi kenyataan berhubung penyertaannya dalam himpunan solidariti untuk suaminya di hadapan Balai Polis Johor Bahru Selatan Oktober lalu.
Nadzirah yang bekerja dengan sebuah NGO berkata kes disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan beliau dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi.
“Sejumlah 34 soalan yang ditanya, antaranya berhubung penganjur himpunan, plakad yang digunakan dan sama ada saya ada memberi ucapan berbau hasutan.
“Saya memberitahu pihak polis bahawa saya memilih untuk menjawab di mahkamah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya hari ini.
Pada 7 Oktober, Khalid ditahan dan dikenakan tiga tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 dan sebelas tuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung tulisan di media sosial yang didakwa menghina kerabat diraja Johor.
Peguam Nadzirah, Hanan Yaakop mempersoalkan tindakan polis memanggil anak guamnya, kira-kira tujuh bulan selepas himpunan dilakukan.
“Ini cerita tahun lepas dan tiada sebab munasabah untuk panggil (Nadzirah). Selepas ditanya, polis hanya berkata mereka mengikut arahan.
“Ketika beri kenyataan, kami menyatakan bahawa ini jelas merupakan satu intimidasi,” katanya sambil memaklumkan Nadzirah hanya dimaklumkan akan dipanggil polis beberapa hari yang lalu.
Dalam pada itu, Nadzirah memaklumkan pihak polis akan memanggil beberapa lagi individu berhubung perhimpunan tersebut, antaranya bekas Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.