Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar 'bersikap
terbuka' berhubung sokongan DAP Selangor terhadap calon Pakatan Harapan
(PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.
"Semua orang mempunyai pendirian masing-masing, terpulang kepada
pengundi untuk memilih mana calon pilihan mereka," katanya ketika
ditemui media, hari ini.
Mahfuz diminta mengulas sokongan DAP Selangor terhadap Parti Amanah
Negara (PAN) yang menyatakan hasrat untuk meletakkan calon di PRK Sungai
Besar, 18 Jun ini.
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mendakwa pengundi di kerusi tersebut
tidak akan menyokong PAS memandangkan parti Islam itu 'mengkhianati'
kerjasama Pakatan Rakyat (PR) sebelum in sehingga menyebabkan gagasan
pembangkang itu terkubur.
Dikatakan PAN bakal mempertaruhkan Presidennya, Mohamad Sabu atau Timbalan Presiden Salahuddin Ayub di Sungai Besar.
Dua hari lalu, Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad menyebut bahawa calon-calon berkenaan dipersetujui DAP Selangor.
Namun sebarang keputusan berkenaan calon akan diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan diadakan pada esok.
Ditanya sama ada pertandingan tiga penjuru di Sungai Besar dan Kuala
Kangsar akan memberi kesan kepada PAS, Mahfuz berkata perlu ada
persefahaman dan tolak-ansur antara PAS dan PAN.
"Supaya setiap parti boleh ambil satu kerusi sahaja. Contoh PAS di
Sungai Besar, maka Amanah (PAN) di Kuala Kangsar atau sebaliknya. Itu
yang saya harapkan supaya tidak bertembung antara satu sama lain,"
ujarnya.
Namun Ahli Parlimen Pokok Sena itu 'mengelak' ketika ditanya mengenai
sokongan kepada calon PAS di kedua-dua kerusi itu dengan memberi alasan
beliau tidak berada di Malaysia ketika pilihan raya berlangsung.
"Saya bukan pengundi, saya tak boleh beri sokongan. Saya tidak berada
dalam negara (pada waktu itu) maka saya tidak terlibat dengan
mana-mana," ulasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.