Halaman

Rabu, 4 Mei 2016

Mesyuarat Kabinet di Kuching untuk sokong Sarawak

SINAR HARIAN


Zahid
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tertarik melihat gambar-gambar yang dirakam sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak ke-11 ketika mengunjungi pusat operasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Bernama di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama


KUCHING - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mesyuarat mingguan Kabinet yang akan diadakan di sini esok,‎ adalah untuk menyokong kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat berkenaan telah dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Beliau (Najib) merasakan bahawa beliau perlu berada di sini, dan beliau ingin mendapatkan komitmen daripada setiap menteri Kabinet. Justeru, kami bersetuju dengan cadangan beliau.

"Mesyuarat Kabinet esok adalah untuk menunjukkan komitmen dan sokongan moral kami terhadap kepimpinan kerajaan negeri. Ia juga bagi menterjemahkan sokongan kami kepada Adenan dan juga visi beliau.  

"Melalui sokongan daripada kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, kita berada di sini untuk bersama-sama dengan rakyat Sarawak," katanya semasa lawatan beliau ke Pusat Operasi Media Bernama di sini hari ini.

Kali terakhir mesyuarat Kabinet diadakan di luar Kuala Lumpur ialah pada  1999 di Langkawi semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima).

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz baru-baru ini, berkata mesyuarat Kabinet akan diadakan di sini, kerana terdapat lapan menteri persekutuan dari Sarawak yang terlibat dalam kempen pilihan raya negeri.  

Nazri berkata ia juga bagi memudahkan menteri-menteri lain dalam portfolio berkaitan untuk berada di sini semasa pilihan raya negeri itu.- Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.