Halaman

Khamis, 5 Mei 2016

Minta rokok sebelum pukul sampai patah tulang rusuk

Minta rokok sebelum pukul sampai patah tulang rusuk
Anak kedua mangsa, Mazlan Che Osman, 49 menunjukkan kepala ibunya yang tercedera akibat pukulan tersebut.
 
 
RANTAU PANJANG – Cuaca panas menyebabkan seorang warga emas berjalan lebih satu kilometer bagi mencari sumber air terbuka untuk keperluan sembilan kerbau dan lembu peliharaannya.

Namun tanpa disangka-sangka ia berakhir tragedi apabila dia dipukul dengan kayu oleh seorang pemuda yang dikenalinya, di sungai dekat Kampung Tok Derpah, jam 8 pagi semalam.

Pukulan itu menyebabkan Halimah Isa, 79, tidak sedarkan diri dan hanya ditemui penduduk kampung, 11 jam kemudian.

Halimah berkata, ketika kejadian dia berjalan seorang diri ke padang dekat sini dengan membawa lembu dan kerbau, kemudian disapa oleh seorang pemuda dalam lingkungan usia 20-an.

Menurutnya, pemuda itu meminta rokok namun belum pun sempat membalas sapaan itu, suspek bertindak memukulnya di bahagian kepala sehingga menyebabkannya jatuh.

Tidak cukup dengan itu Halimah berkata, pemuda itu memukulnya sekali lagi dengan kayu sehingga menyebabkan dua tulang rusuk kirinya patah.

“Selepas sedarkan diri, saya dapati subang, dua rantai dan wang tunai berjumlah hampir RM30,000 lesap,” katanya.

Sementara itu, adik bongsu mangsa, Siti Minah Isa, 66, berkata, dia tidak menyangka sikap pemuda berkenaan yang bukan sahaja sanggup memukul kakaknya hingga tak sedarkan diri malah meninggalkannya seorang diri di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kawasan berkenaan agak jauh daripada kawasan perumahan dan hanya dilalui oleh petani dan penternak.

“Saya yakin dengan kreadibiliti pihak polis sehingga tertangkapkan suspek berkenaan dan kami harap dia menerima hukuman yang setimpal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, gerakan memburu suspek yang juga penduduk di kampung itu giat dijalankan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana rompak dan menyebabkan cedera.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.