Halaman

Sabtu, 21 Mei 2016

Otai Reformis mula ragui perjuangan BERSIH

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Badan Bukan Kerajaan (NGO) BERSIH 2.0 yang dipengerusikan oleh Maria Chin Abdullah mula diragui peranannya didalam menuntut proses pilihan raya yang bersih dan adil.
 
Menurut Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail, keraguan itu mula timbul ekoran mereka mula mengangkat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ikon mereka dalam menggerakkan agenda Deklarasi Rakyat.
 
Justeru kumpulan itu berpendirian untuk menjarakkan diri daripada sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh NGO tersebut yang disifatkan sudah lari daripada perjuangan asal mereka.
 
"Kita sebenarnya mula meragui peranan BERSIH sekarang sejak kebelakangan ini kerana kita lihat BERSIH itu sebenarnya dah lari daripada sasaran awal mereka untuk menjamin satu sistem proses Pilihan Raya adil dan telus.
 
"Kita lihat sekarang BERSIH sudah dilihat memperjuangkan untuk memartabatkan dan menobatkan Dr Mahathir ini sebagai ikon mereka. Jadi kita ragui peranan bersih dan kemungkinan rakan-rakan otai kita akan cuba jarakkan diri kita dengan aktiviti-aktiviti BERSIH pada masa akan datang," katanya di sidang media 'isu Warkah Dari Penjara' di sini hari ini.
 
BERSIH antara NGO yang lantang mempertahankan peranan Mahathir dalam Deklarasi Rakyat yang menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan apabila ada beberapa NGO lain yang menentangnya.
 
Dalam pada itu, mengulas mengenai 'Warkah dari Penjara' ditulis oleh bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Razak berkata surat itu ditujukan kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) tentang amaran kelicikkan Mahahtir.
 
Tambahnya, surat itu bukan sahaja isu dalaman parti apabila terdapat pemimpin PKR sendiri terlibat secara langsung dalam Deklarasi Rakyat ini.
 
"Jadi kita tidak boleh menyatakan itu seperti yang Kak Wan cakap isu dalaman parti tapi surat itu keluar kepada publik cerita tentang amaran dia tentang kelicikkan Dr Mahathir itu ditujukan kepada publik.
 
"Pemimpin PKR juga dilihat sebagai satu pelopor kepada deklarasi pada dasarnya dari pandangan awam itu Azmin Ali, Tian Chua semuanya adalah pelopor kepada deklarasi (rakyat) ini.
 
"Jadi kami berpendapat surat itu ditujukan kepada pimpinan Pakatan Harapan untuk dihadam kita seluruh negara," ujarnya. 
 
Sebelum ini, Otai Reformis hanya akan menyatakan sokongan kepada perjanjian Deklarasi Rakyat sekiranya agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim disertakan sekali dalam perjanjian itu.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.