Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR – Klausa yang termaktub dalam Deklarasi Rakyat perlu merangkumi klausa dan tuntutan sama yang dibuat oleh gagasan reformasi yang diperjuangkan pembangkang selama ini.
Bendahari NGO Otai Reformasi, Saiful Ariffin berkata, hanya dengan cara itu, ia boleh memperkukuhkan perjuangan reformasi, selain mengelakkan daripada perpecahan rakyat yang menolak kerajaan sedia ada kini.
“Deklarasi Rakyat tidak boleh sama sekali mengenepikan usaha gagasan reformasi seperti membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh.
“Sistem kehakiman sama sekali perlu bebas dan dilindungi kebebasan dalam Pelembagaan Malaysia dan operasi pengurusan tidak diletakkan di bawah kementerian atau Jabatan Perdana Menteri dan diklasifikasikan Peruntukan Operasinya di bawah Belanjawan Tanggungan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, tuntutan Deklarasi Rakyat yang jelas berbeza dengan usaha gerakan reformasi selama ini jelas mengelirukan rakyat yang berjuang bersama mereka selama ini.
“(Himpunan) Bersih ada beberapa tuntutan yang mana satu pun tidak merangkumi klausa yang termaktub dalam Deklarasi Rakyat.
“Kita tuntut tukar seluruh sistem dalam kerajaan, manakala Mahathir (salah seorang pemimpin dalam Deklarasi Rakyat) pula lebih fokus untuk jatuhkan Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak).
Kita tolong dia sikit-sikit sudahlah, jangan biarkan seluruh rakyat karam bersama-sama dengan dia,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.