HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mei 2016

Pukul isteri: Pegawai veterinar dipenjara 8 bulan

Pukul Bini


BUKIT MERTAJAM - Seorang pegawai veterinar dipenjara lapan bulan dan didenda RM2,000 selepas didapati bersalah mencederakan isterinya dalam sebuah lif di sebuah hospital swasta tiga tahun lalu.

Mohammad Affandi Ismail,40 juga berdepan dengan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Affandi  yang bertugas sebagai pegawai veterinar di Jerantut, Pahang sebelum ini didakwa mencederakan isterinya, Siti Khadijah Ahmad Ramli,40 di dalam lif Hospital KPJ Bandar Perda , di sini kira-kira jam 4 petang, 12 Ogos 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun serta denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pukul isteri: Penjawat awam tidak mengaku salah]

Majistret Mohd Fitri Sadarudin dalam penghakimannya berkata, walaupun tertuduh mendakwa bertindak sedemikian adalah kerana untuk menegur isterinya akibat di provokasi namun mahkamah mendapati tindakan berkenaan tidak wajar.

"Sebagai seorang suami yang beragama Islam dan berpendidikan tinggi, kamu seharusnya menghormati serta menghargai isteri yang melahirkan serta menjaga anak -anak namun bertindak sebaliknya," katanya.

Sebelum ini, perbuatan tertuduh yang memukul isterinya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tersebar menerusi YouTube.

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis buru suami pukul isteri dalam lif]

Sementara itu, Siti Khadijah ketika ditemui berkata, dia bersyukur dengan keputusan berkenaan dan telah membuat permohonan cerai di Mahkamah Syariah Bukit Mertajam.

Ketika ditanya sama ada dia telah memaafkan perbuatan suaminya, wanita berkenaan yang bekerja di sebuah kilang hanya menjawab: "Insya-ALLAH."

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliza Md. Zin manakala tertuduh diwakili peguam, R Palaniappan.


Tiada ulasan: