PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
mengajak PKR, DAP, PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) menerima hakikat
bahawa rakyat dengan jelas menolak pertelingkahan sesama rakan sekutu
politik.
Katanya, mesej itu telah disampaikan rakyat secara 'lantang dan jelas'
menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang diumum malam
tadi.
"Rakyat Sarawak sudah pun bersuara dan kita sebagai pembangkang di
peringkat nasional sewajarnya berhenti sejenak dan mendengar mesej yang
ingin disampaikan mereka.
"Mesejnya lantang dan jelas, rakyat menolak pertelingkahan sesama kita.
Pencapaian kita mungkin lebih baik jika sejak awal lagi kita bersatu
hati dan bekerjasama seperti kelaziman kita," katanya dalam satu
kenyataan.
Timbalan Presiden PKR itu berkata setiap parti pembangkang perlu akur
bahawa perbezaan pendapat dalam isu tertentu akan terus wujud pada masa
hadapan tetapi ia perlu ditangani dengan semangat kebersamaan.
Katanya, pembangkang diyakini mampu bangkit kembali setelah gagal dalam
PRN Sarawak dengan semangat persaudaraan, sikap saling bertolak ansur,
serta saling hormat-menghormati.
"Keyakinan yang didorong semangat kebersamaan selama ini akan terus membantu kita melangkaui perbezaan ini.
"Saya menyeru kita semua untuk bertemu dan bermuhasabah bagi
menguruskan perbezaan kita demi manfaat bersama sebagai parti politik
serta demi negara kita yang tercinta ini," katanya.
Mengenai kekalahan DAP beliau berkata PKR menganggapnya sebagai kekalahan bersama.
Beliau juga menyeru agar PAN dan PAS supaya terus bergerak ke hadapan
bersama PKR dan DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).
"Walaupun PKR mengekalkan kerusi-kerusinya, kekalahan DAP juga
merupakan kekalahan kita bersama. Malah, kekalahan mana-mana ahli dalam
pakatan ini adalah satu kekalahan buat PKR.
"Justeru, PAN dan PAS haruslah terus mara bersama PKR dan DAP. Kita
perlu terus bergerak ke hadapan secara bersama bagi menghadapi PRU-14
sebagai satu pasukan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.