Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
SHAH ALAM: Rundingan antara PKR dan PAS bersabit agihan kerusi Pilihan
Raya Kecil (PRK) Sungai Besar sudah dijangka Parti Amanah Negara (PAN),
akan menemui jalan buntu berikutan sikap dan kenyataan Presiden PAS,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sering berubah-ubah.
Setiausaha PAN, Anuar Tahir berkata beliau dan rakan seperjuangannya
dalam PAN mengenali peribadi Hadi, justeru mereka tidak terkejut apabila
mengetahui rundingan yang dibuat Datuk Seri Azmin Ali dengan wakil PAS
dinafikan Hadi sebelum ini.
"Itulah Hadi yang kami kenali, sejak kami bersama di dalam PAS sehingga
kami keluar membentuk parti baru (PAN), sikap beliau selalu
berubah-ubah, flip-flop.
"Kadangkala menjadikan ia sukar. Namun tidak apa, kerana PKR percaya
boleh berunding lagi dengan PAS," kata Anuar kepada Antarapos, hari ini.
Hadi sebelum ini memberitahu tiada rundingan antara PAS dan PKR
bersabit PRK Sungai Besar dan beliau tidak tahu apa-apa selepas ditanya
lebih lanjut oleh pemberita.
Sebagai respon kepada kenyataan Hadi, Azmin kemudiannya mendedahkan
beliau sudahpun membuat rundingan dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali
serta Setiausaha Politik kepada Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Bagaimanapun pada Sabtu, Hadi mengesahkan PAS Pusat menghantar tiga
individu itu untuk mengadakan rundingan dengan wakil Pakatan Harapan
(PH), iaitu PKR.
Hadi juga memberitahu pemberita di Melaka bahawa pintu rundingan
bersabit PRK sudah ditutup dan PAS tetap akan bertanding di kerusi
Parlimen berkenaan.
"Mengenali mereka (PAS)... Jadi nak berunding apa dengan PAS? Mereka akan tetap buat keputuan begitu," ujarnya.
Pakatan Harapan sebelum ini memberitahu mereka berminat untuk
meletakkan calon di Sungai Besar, yang merupakan kerusi tradisi PAS.
Namun PAS sejak dari awal bertegas parti itu tetap akan bertanding dan
enggan melepaskan jawatannya kepada PKR, DAP mahupun PAN.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), PAS kalah majoriti tipis kepada calon Umno Barisan Nasional (BN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.