Halaman

Isnin, 2 Mei 2016

Syafiq stabil tapi kerap menangis

Syafiq stabil tapi kerap menangis
Mohd Rosdi dan isteri sentiasa berada di sisi Mohd Syafiq untuk memberi kata semangat agar anak mereka cepat sembuh.
 
TAIPING - Pelajar tingkatan dua yang putus tangan kanan setelah disedut mesin pam air, Isnin lalu berada dalam keadaan stabil sebaik selamat menjalani pembedahan di Hospital Taiping, kelmarin.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar putus tangan disedut mesin pam angin]

Bagaimanapun, Mohd Syafiq Mohd Rosdi, 14, dikatakan kerap mengadu sakit dan ada ketikanya menangis sebaik mengetahui keadaannya yang kehilangan sebelah tangan.

Bapa, Mohd Rosdi Md Shohor, 46, berkata, anak kedua daripada tujuh beradik itu sudah mengetahui keadaan dirinya sebenar menyebabkan ada ketika emosinya terganggu.

[ARTIKEL BERKAITAN:  'Abang belum tahu tangannya sudah tiada']

"Kami cuba tenangkannya agar emosinya stabil dan kini dia dah sedar sebelah tangannya tak ada,” katanya.

Dia bersama isteri, Rozarita Mat Jom, 35, mengakui, tidak dapat menahan sebak setiap kali Mohd Syafiq menangis dan mengadu sakit.

“Kami cuma nak dia pulih cepat dan dapat hidup macam remaja lain, kami akan sentiasa beri sokongan kepadanya untuk terus kuat,” katanya.

Kelmarin, Mohd Syafiq yang dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur ke Hospital Taiping menjalani pembedahan di bahagian tangan dan kaki kirinya yang patah.

Mohd Rosdi berkata, berdasarkan perkembangan kesihatannya, difahamkan Mohd Syafiq akan dibenarkan pulang dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Apa pun kami masih lagi menunggu keputusan doktor, sekarang ni dia selalu mengadu lenguh-lenguh jari dan tangan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam di ladang ternakan ayam di Kampung Ulu Krong, Selama, Isnin lalu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Bayor itu ditemui tersangkut pada belting enjin kubota dan tidak sedarkan diri.

Ketika kejadian, difahamkan pengusaha ladang itu menghidupkan enjin pam air itu untuk mengepam air ke reban ayam, namun dalam tempoh 10 minit kemudian, didapati air tidak sampai menyebabkan lelaki itu kembali ke lokasi dan menjumpai mangsa yang parah.

Selain putus tangan kanan, mangsa patah tangan kiri dan kaki kiri dan mengalami retak tempurung kepala serta lebam mata kanan.

Mangsa yang dihantar ke Hospital Selama dipindahkan ke Hospital Taiping sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.