Ahmad Bashah (kanan) memukul gong sebagai gimik perasmian, hari ini.
JITRA - Kerajaan Kedah berhasrat meminda beberapa dasar bagi membolehkan lebih ramai pelabur datang ke sini, terutama dalam sektor perumahan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, dasar yang digunapakai sudah terlalu lama dan tidak sesuai dengan keadaan semasa.
“Saya berhasrat meminda satu dua dasar kerajaan untuk beri ruang kepada Amanat 100 Hari yang dibawa baru-baru ini supaya kerajaan negeri mesra rakyat dan mesra pelabur.
“Sebab itu ada satu dua polisi yang selama ini berjalan dan sudah terlalu lama perlu dipinda supaya bersesuaian dengan keadaan, ekonomi serta keperluan hari ini,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan pertubuhan peladang kawasan (PPK) Mada 2016 di Dewan Wawasan, di sini, hari ini.
Menurutnya, ia dibincangkan dalam mesyuarat exco untuk membuat pindaan supaya menjadi lebih mesra dan mungkin lebih banyak pelabur yang akan turun ke Kedah.
"Kalau ada sekatan, mungkin mereka ada pilihan ke tempat lain.
“Kalau kita nak mereka datang ke Kedah dan melabur, kita kena buka sedikit ruang supaya mereka boleh melabur dengan kita,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, jika dasar lama dipertahankan mungkin menyebabkan pemaju perumahan kurang berminat melabur di negeri ini.
“Dari segi kuota pembinaan misalnya, kalau rumah PR1MA (Perumahan Rakyat 1 Malaysia) dasar kita adalah 30 peratus perlu ada kos rendah. Jadi kita perlu pinda supaya program kerajaan untuk bina rumah PR1MA terlaksana.
“Kalau guna juga 30 peratus untuk bina kos rendah, mungkin kita akan mengurangkan minat pemaju untuk melabur dalam PR1MA atau perniagaan lain dari swasta,” katanya.
Bagaimanapun, hasrat itu tidak bermakna kerajaan negeri mengetepikan kehendak golongan yang amat memerlukan rumah kos rendah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.