Antara individu yang ditahan dan didapati positif dadah ketika operasi awal pagi semalam. - Foto Sinar Harian
RAUB - Seorang duda enggan melepaskan dua anaknya yang berada di atas pangkuan ketika ditahan sedang melepaskan gian di sini, semalam.
Ketua Unik Risikan Operasi dan Siasatan AADK Pahang, Zulkipli Muhammad berkata, duda berusia 30 tahun itu merupakan antara 42 individu yang ditahan dalam operasi gempur Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
"Lelaki itu membawa dua anaknya yang berusia tiga dan enam tahun menetap di Felda Tersang didapati positif dadah semasa tangkapan dilakukan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, daripada jumlah penagih yang ditahan berumur antara 24 tahun hingga 40 tahun itu, seramai tiga orang positif dadah jenis methamphetamine, 22 orang positif opiate manakala 17 lagi disahkan negatif bahan terlarang itu.
"Sasaran operasi termasuk kawasan perumahan, ladang kelapa sawit dan juga kawasan belukar di Felda Tersang 1, 2 dan 3, serta beberapa lokasi sarang penagih yang dikenal pasti di kawasan berkenaan,” katanya lagi.
Tambahnya, pelbagai cara digunakan oleh penagih dadah untuk melepaskan diri dari tangkapan sehingga ada yang sanggup bergadai nyawa, namun tidak berjaya berikutan kecekapan anggota AADK.
"Berlaku juga insiden pergelutan dan kejar mengejar ketika serbuan dilakukan tetapi pasukan kita lebih cekap. Kita juga mengesan taktik baharu digunakan penagih dadah untuk memperdayakan pihak berkuasa.
"Ada penagih masuk kawasan ladang pada waktu malam dan tidur di sana bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa. Cara ini dilakukan bagi memudahkan mereka mendapat bekalan daripada pembekal yang dipercayai masuk ke kawasan itu pada waktu Subuh," katanya.
Beliau berkata, operasi diketuai beliau itu disertai 39 anggota AADK Raub dan juga anggota dari daerah lain di negeri ini.
Zulkipli berkata, operasi yang bermula jam lima pagi dan berakhir sepenuhnya pada tujuh malam itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan tumpuan terhadap aktiviti penagihan di kawasan Felda di Raub.
Tambahnya, sepanjang siri operasi yang bermula dari Januari hingga Mei 2016, sebanyak 624 kes melibatkan penagih baharu dan penagih tegar.
“Di Raub saja, terdapat 362 penagih baru dengan 60 peratus daripadanya adalah penagih yang berusia 20 hingga 40 tahun.
“Kesemua mereka yang ditangkap akan diletakkan di bawah Seksyen 3(1), Seksyen 6(3) dan Seksyen 8(3) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan