Halaman

Rabu, 1 Jun 2016

Husam dedah isi kandungan suratnya kepada Hadi

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa hari ini menyifatkan tuduhan parti kepada beliau sebagai dangkal dan tidak mengikut prinsip penyiasatan yang kemas.
 
Justeru, Husam yang juga ADUN Salor menggesa agar pemecatan keahliannya daripada PAS dibatalkan atau ditarik balik.
 
Husam bertegas demikian dalam surat yang dihantarnya kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam usaha untuk meyakinkan Presiden PAS itu, betapa pemecatannya perlu dikaji semula seterusnya ditarik balik.
 
Husam kemudiannya berkata, surat rasmi, 29 muka surat itu tidak seharusnya dilihat sebagai 'surat rayuan' sebaliknya 'surat untuk membetulkan keadaan'.    
 
"Saya menegasakan, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan baik mengikut perlembagaan PAS mahupun ukuran Islam. Apatah lagi, pertuduhan yang dikenakan adalah sangat dangkal dan tidak menepati prinsip penyiasatan yang kemas.
 
"Saya juga tidak diberikan keadilan penghakiman dan perbicaraan seperti mana yang dituntut oleh Islam. Saya dengan ini menyeru supaya pemecatan ke atas saya di batalkan dan ditarik balik," katanya.
 
Husam sebelum ini tidak mendedahkan isi kandungan surat tersebut ketika dihantar kepada Hadi, 26 Mei lalu.
 
Beliau hanya mula mengedarkan surat tersebut kepada media hari ini, selepas Muktamar PAS kali ke-62 membuka tirainya petang semalam.
 
Menurut Husam lagi, beliau berpendirian segala pertuduhan ke atasnya adalah tidak benar.
 
"Tidak ada arahan dan perintah parti yang saya langgari dan Jawatankuasa Disiplin gagal menunjukkan mana perintah parti yang telah saya langgari dan tidak ada mana-mana kewajipan yang ditugaskan oleh parti yang saya langgari dan Jkuasa Disiplin gagal menunjukkan mana kewajipan parti yang saya langgari.
 
"Tidak ada mana-mana rahsia Parti yang merugikan Parti yang saya gagal menjaganya. Rahsia yang sudah diketahui umum yang boleh merosakkan Parti tidak boleh disabitkan ke atas saya kerana peruntukan agama Islam membenarkan teguran dibuat ke atas pelanggaran amanah perjuangan," ujarnya.
 
Husam juga mendakwa beliau tidak gagal dalam mengamalkan akhlak islam dan menyifatkan dirinya menjadi mangsa kepada akhlak buruk yang berkembang dikalangan segelintir pemimpin PAS.
 
"Setakat ingatan saya, saya tidak gagal mengamalkan akhlak Islam bahkan saya telah menjadi mangsa kepada akhlak buruk yang telah berkembang di kalangan segelintir pimpinan Pas, termasuk Yang Arif Pengerusi Jkuasa Disiplin sendiri yang telah menganiayai saya dengan tuduhan bersifat fitnah menjelang Muktamar Pas yang lalu.
 
"Saya juga tidak gagal mengawal diri dari melakukan tindakan yang menyalahi dan merugikan parti. Melainkan tindakan saya adalah sebagai respon terhadap tindakan, ucapan dan gerakan yang akhir-akhir ini dilakukan oleh segelintir   pemimpin Parti yang menyalahi dan merugikan parti.
 
"Saya sama sekali tidak ingkar kepada Perlembagaan Parti dan aturan dan peraturannya. Bah kan, tindakan saya adalah berdasarkan Perlembagaan Parti Fasal 3, Fasal 5, Fasal 6, Fasal 7 dan Fasal 14," katanya.
 
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr Daeng Sanusi Mariok berkata hanya Jawatankuasa Pusat PAS yang boleh memberikan kata putus terhadap surat rayuan Husam itu.
 
Katanya, jawatankuasa pusat yang terdiri daripada presiden dan barisan kepimpinan utama boleh membatalkan pemecatan berkenaan atau meringankan hukuman terhadap bekas exco Kelantan itu.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.