Halaman

Rabu, 1 Jun 2016

'Individu keluar Pas tak ubah pendatang asing'

Pas


PASIR PUTEH - Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menegaskan, parti Islam itu merupakan satu-satu parti yang masih bertahan dan tidak berpecah berbanding parti seusia dengannya dan parti-parti pembangkang lain.

Beliau berkata, walaupun ada pemimpinnya sebelum ini keluar meninggalkan Pas, namun ia tidak menjejaskan parti, sambil menyifatkan mereka ini sebagai pendatang asing yang datang ke Malaysia untuk sementara waktu.

"Kita perlu sedar bahawa Pas menjadi parti paling tonggak dalam negara ini. Pas tidak berpecah. Umno berpecah, PKR berpecah, DAP berpecah, MCA berpecah, satu-satunya parti yang tidak berpecah hari ini ialah Pas.

"Rakan kita yang keluar itu, bagaikan pendatang asing, datang bekerja di negara ini, ditangkap oleh imigresen, kemudian balik ke negara dia, itu saja.

"Mereka ini tidak berwala' dengan Pas, mereka ini hanya sekadar duduk dalam Pas," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas ke-55 di Sweet Beach Resort, di sini, hari ini.

Mengulas isu lain, beliau juga berharap muktamar sayap Pas itu kali ini membawa makna besar dengan memikul amanah lebih besar untuk menyebarkan kebangkitan Islam ke seluruh negara.

"Ia bukan sahaja untuk masyarakat Islam, bahkan tugas dan tanggungjawab kita menyampaikan risalah Islam ini kepada masyarakat bukan Islam dan masyarakat Islam yang tidak memahami perjuangan Islam.

"Apa yang berlaku ini menjadi hikmah besar kepada perjuangan Islam dalam negara ini untuk kita mencapai kemenangan dalam pemerintahan negara yang menyebabkan kita boleh melaksanakan syariat ALLAH," katanya lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.