Halaman

Rabu, 1 Jun 2016

Jangan jaja nama Nik Aziz, kata Nik Abduh pada PAN

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) diingatkan tidak menjaja nama Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan perjuangan politik parti itu.
 
Demikian nada tegas anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-57, petang tadi.
 
"Saya nak pesan kepada sahabat-sahabat PAN, nak cakap tentang Tok Guru, cakaplah apa sahaja, tetapi ia mengandungi pahala dan dosa.
 
"(Tetapi) jangan cakap apa yang ayah saya akan lakukan jika beliau masih hidup. Kena ingat bahawa kita diajar untuk menghormati tok guru, golongan ulama, itu betul," katanya kepada seluruh perwakilan di muktamar yang diadakan di Kelantan Trade Centre (KTC).
 
Nik Mohamad Abduh, yang juga Ketua Pemuda PAS dalam nada yang menyentuh perasaan meminta rakan-rakannya di parti yang baru itu tidak sesekali mengaitkan perjuangan bapa beliau dengan PAN.
 
Ia merujuk kepada kemelut dalaman yang berlaku di dalam PAS, terutamanya ketika muktamar tahun lalu yang menyaksikan penentangan sekelompok pimpinan kanan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Kelompok itu kemudiannya bertindak keluar parti dan menubuhkan PAN.
 
"Itu adalah dosa besar. Jangan sebut nama Nik Aziz dengan nama parti lain selain PAS, sebab beliau dari muda sampai mati pun masih pertahankan PAS," ujarnya.
 
Bukan itu sahaja beliau juga tidak mahu ahli-ahli PAS terlalu taksub dengan Nik Abdul Aziz, begitu juga dengan pemimpin parti yang lain.
 
Tegasnya, adalah lebih baik menghayati perjuangan yang dibawa pemimpin-pemimpin tersebut selama ini dalam membawa PAS sehingga ke tahap ini.
 
"Yang memuja tok guru jangan taksub. Yang nak puji Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Haron Din, selepas mereka mati, kamu keluar daripada PAS, kamu pun sama gila dengan puak satu lagi," demikian menurutnya sambil disambut laungan takbir para perwakilan.
 
Dalam ucapan penggulungan itu juga, Nik Mohamad Abduh secara sinisnya yakin pemimpin PAN merindui 'kemanisan' berjuang di dalam parti Islam itu, lebih-lebih lagi dalam bermuktamar.
 
Malah pemimpin parti serpihan itu juga didakwa tidak lagi merasa nikmat wala' (taat) dalam perjuangan Islam yang mereka bawa kini.
 
"Banyak yang saya dengar dari jauh bahawa mereka merindui PAS, mereka rindu suasana yang ada di dalam PAS yang mereka dah hidup lama berpuluh tahun.
 
"Mereka tidak lagi merasa nikmat itu, tidak lagi rasa isitilah wala', ukhwah, istilah agama yang kemas dan kukuh yang disebut dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
 
"Mereka mahu sesuatu yang lebih baru tetapi mereka lupa bahawa yang baru itu bukan sesuatu yang diredhai Allah SWT," tegas pemimpin sayap parti itu lagi," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.