HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Jun 2016

[KEMASKINI] Pemilihan calon PRK melalui prosedur yang ketat - Ketua Dewan Ulama

Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani W. M. Azhar
Post Pic


PASIR PUTEH: Pemilihan calon bagi mewakili parti di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) melalui prosedur yang ketat sebelum dimuktamadkan sayap tertinggi parti, Majlis Syura Ulama.

Demikian penegasan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed bagi menjawab pertikaian Perwakilan Selangor, Nik Bakri Nikmat ketika membahaskan usul pada sidang Muktamar Dewan Ulama PAS, pagi ini.

"Mengenai pemilihan calon PRK, sebenarnya proses pemilihan bermula dari kawasan dan dibawa ke peringkat negeri dan seterusnya dewan harian.

"Kita berbincang.. Masing-masing ada hak, peringkat kawasan bincang, dewan ulama negeri bincang. Tak kira kira siapa, apabila diputuskan jawatankuasa harian maka kena wala' (taat) supaya calon kita capai kemenangan.

"Lebih-lebih lagi di Selangor apabila dahulu kita kalah tipis," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Muktamar Dewan Ulama kali ke-55, di sini, hari ini.

Penegasan Mahfodz itu dilakukan selepas perwakilan dari Selangor itu 'mempertikaikan' pemilihan ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman sebagai calon PAS bagi PRK Sungai Besar.

Nik Bakri sewaktu membahaskan ucap tama sebelum itu secara berkias menyifatkan Abdul Rani yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor sebagai 'mesra' Parti Amanah Negara (PAN).

Ujarnya, pemilihan Abdul Rani sebagai calon dibimbangi akan menjadi pertandingan di antara 'harum manis lawan harum manis', sekiranya PAN turut meletakkan calon di kerusi yang sama.

Justeru beliau menggesa Dewan Ulama PAS agar campur tangan dalam soal pemilihan Abdul Rani sebagai calon di kerusi tersebut.

Mengulas lanjut, Mahfodz berkata semua ahli khususnya dewan ulama untuk bekerja keras demi memastikan kemenangan calon PAS bukan saja di Sungai Besar, malah di Kuala Kangsar.

"Sebagai Ulama kita perlu usaha keras untuk pastikan calon-calon PAS capai kemenangan," katanya.


Tiada ulasan: