Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KOTA BHARU: PAS Pulau Pinang berhajat untuk menang lebih banyak kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Perwakilan Pemuda PAS negeri itu, Mohd Hafis Alias berkata ia penting
supaya rizab tanah Melayu di Pulau Pinang tidak tergadai kepada kaum
lain.
Ujarnya dalam jumlah penduduk Pulau Pinang iaitu 1.6 juta, populasi kaum Melayu di negeri itu kini berada di tangga kedua.
"Orang Melayu nak duduk mana?
"Dua negeri yang tiada tanah rizab Melayu, termasuklah Pulau Pinang.
Walaupun angka ini kecil tetapi ia memberi kesan yang cukup besar kepada
generasi akan datang," katanya di hadapan perwakilan di Muktamar Dewan
Pemuda ke-57 di Kelantan Trade Centre (KTC), petang tadi.
Kaum Cina kini menjadi majoriti penduduk di Pulau Pinang dengan pecahan
populasi 45.6 peratus, diikuti kaum Melayu 43.6 peratus, kaum India
10.4 peratus dan lain-lain pula 0.4 peratus.
Hafis mendakwa keadaan ini berlaku kerana corak pentadbiran Ketua
Menterinya, Lim Guan Eng yang mudah-mudah menjual tanah kepada pihak
luar.
"Jual tanah kepada orang luar ibarat jual negara, situasi sama yang
berlaku di Palestin sebelum mereka dihalau keluar dari negara sendiri.
"Hanya satu penyelesaian untuk menyelamatkan orang Melayu di negeri itu
ialah PAS menggembleng tenaga dan tawan Pulau Pinang pada PRU14.
"Jangan sampai si 'khalifah' Guan Eng ini menang (pada PRU-14) dan
mengekalkan kuasanya di tampuk pemerintahan kerana selama dua penggal
dia berkuasa, habis semua tanah Melayu tergadai," katanya lagi sambil
disambut laungan perwakilan yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan