Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin menyifatkan tindakan
Dewan Muslimat PAS meluluskan tanpa bahas usul mengkaji semula tahaluf
siyasi dengan PKR sebagai politik dangkal dan tidak bijak.
Ujarnya Dewan Muslimat PAS perlu melihat kerjasama antara parti itu
dengan PKR untuk jangka masa panjang terutama sekali melibatkan
pentadbiran Pakatan Harapan dan PAS di Selangor, sebelum mengemukakan
usul sedemikian.
"Sekiranya betul untuk buat usul putuskan hubungan dengan PKR mungkin
sebagai langkah politik yang kurang matang pada saya kerana bila dia
(Muslimat) buat satu keputusan itu dia kena tengok implikasi yang besar
dari segi Negeri Selangor.
"Kalau putuskan hubungan dengan PKR, apa jadi kepada tiga exco PAS di
Selangor dan di peringkat nasional, itu lebih besar lagi," katanya
semasa dihubungi Antarapos.
Dewan Muslimat Kedah ketika menyertai sesi perbahasan sempena Muktamar
PAS kali-62 di kota Bahru, Kelantan hari ini menggesa PAS Pusat mengkaji
semula hubungan politik dengan PKR.
Menurut perwakilan itu, tindak tanduk PKR akhir-akhir ini kerap kali
dilihat tidak menghormati PAS dengan menjalin kerjasama dengan Parti
Amanah Negara (PAN) yang kerap melemparkan pelbagai dakwaan terhadap
PAS.
Mengulas lanjut, Zuraidah berkata, apa jua keputusan yang dibuat PAS
Pusat bersabit usul itu akan memudahkan PKR menentukan hala tuju
politiknya pada masa depan.
"Saya rasa kenyataan itu dibuat dengan satu pendekatan yang singkat dan
cetek, tapi bagaimanapun saya faham kalau usul ini selalunya akan
diangkat ke Majlis Syura jadi kalau Muktamar harus samada menerima usul
berkenaan tanpa bahas atau dibahaskan.
Apa pun sekiranya keputusan itu dibuat, PKR rasa akan memudahkan kita
untuk merancang dan membuat keputusan dan pendirian kita untuk masa
depan terutamanya Pilihanraya (PRU) 14," ujar Zuraidah.
Pada Muktamar PAS 2015, PAS Pusat menerima dan meluluskan usul parti
itu memutuskan hubungan dengan DAP selepas bercanggah pendapat bersabit
pelaksanaan hudud di Kelantan, yang kemudiannya menyaksikan Pakatan
Rakyat terkubur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan