KUALA LUMPUR: Penahanan seorang anggota kanan kumpulan militan IS
bersama 13 lagi suspek, serta rampasan bahan letupan 'Improvised
Explosive Device' (IED) bertujuan untuk melancarkan serangan terhadap
pegawai tertinggi Bukit Aman.
Kesemua suspek ditahan oleh Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas
Bukit Aman di sekitar Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.
Difahamkan sebuah IED seberat 1 kilogram itu berupaya untuk memusnahkan
sebuah kenderaan dalam satu serangan, disimpan di sebuah rumah di
Kampung Melayu, Sungai Buloh, lokasi salah seorang anggota militan yang
diserbu polis.
Rumah tersebut dipercayai menjadi tempat penyimpanan bagi kumpulan pengganas itu.
Mereka disyaki menerima arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi,
anggota sel sama yang ditahan dalam operasi penghujung bulan lepas,
untuk melancarkan serangan terhadap pegawai tertinggi Bukit Aman.
Antara mereka yang ditahan merupakan tukang masak di sebuah restoran
francais di Lembah Klang, dua pekerja syarikat swasta, seorang pelajar
institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan seorang lagi mekanik.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, seorang daripada
suspek mengaku telah berkongsi kaedah membuat bahan letupan melalui
aplikasi Telegram dengan lain-lain anggota IS.
"Suspek juga mengaku menerima arahan Muhammad Wanndy untuk menghasilkan
IED bagi melancarkan serangan di Lembah Klang dan turut membekalkan
sepucuk pistol kepada suspek melalui orang perantaraan sebagai
persediaan mempertahankan diri jika ditahan polis," katanya.
Suspek berusia 49 tahun yang ditahan di Kedah merupakan angggota kanan
kumpulan berkenaan, yang aktif merekrut anggota baharu melalui
usrah-usrah sulit di sekitar Sik, Kedah dan bertanggungjawab mengatur
pergerakan ke Syria untuk menyertai IS.
"Seorang yang direkrut oleh suspek adalah Abu Ghani Yaacob@Abu Kedah
yang telah terkorban di Syria pada 17 April lepas," katanya.
Khalid berkata, suspek wanita berusia 43 tahun, yang ditahan di Perak,
aktif mempromosikan Daesh serta merancang untuk menyusup masuk ke
selatan Filipina bagi menyertai kumpulan itu.
Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut BAB
VIA -kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta574) dan
akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan