Halaman

Ahad, 24 Julai 2016

Gesa pihak berkuasa ambil maklumat daripada DOJ

Gesa pihak berkuasa ambil maklumat daripada DOJ
Tajuddin menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Sambutan Aidilfitri Umno Pasir Salak, di Chenderong Balai. - Foto Sinar Harian
 
 
SUNGAI MANIK - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menggesa pihak berkuasa negara mengumpul maklumat dan bukti yang didakwa oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Tajuddin, dia bersama beberapa ahli majlis tertinggi Umno menyatakan persetujuan melalui aplikasi WhatsApp supaya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan maklumat dan bukti sebagaimana didakwa DOJ.

"SPRM dan PDRM perlu segera ke AS dan mengutip segala maklumat serta bukti yang berada di tangan DOJ mengenai harta yang dibeli menggunakan wang 1MDB untuk siasatan lanjut.

"Pihak berkusa kita perlu bekerjasama dengan DOJ AS dalam menyelesaikan masalah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Aidilfitri Umno Pasir Salak di Chenderong Balai, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani  menambah, semua pihak perlu membiarkan DOJ AS menjalankan siasatan mereka kerana tiada apa yang perlu dirisaukan ekoran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah terbukti tidak bersalah melalui siasatan badan bertanggungjawab negara ini.

"Saya bersetuju dengan Najib di mana jika ada orang didapati bersalah melanggar undang-undang melibatkan 1MDB individu berkenaan perlu diambil tindakan.

"Kita tidak boleh mengatakan seseorang itu bersalah selagi dia tidak didapati bersalah, namun proses untuk membuktikan dia bersalah perlulah disegerakan," katanya.

Tajuddin berkata, dia menyokong proses siasatan perlu disiapkan dengan secepat mungkin supaya tiada sebarang spekulasi dikeluarkan oleh rakyat memandang pilihan raya umum semakin menghampiri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.