MALAYSIAKINI
Mahkamah Syariah Selangor akan mengadakan sesi perbicaraan pada
sebelah malam bermula Isnin ini dalam usaha mengurangkan bilangan kes
tertunggak yang tinggi.
Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata
inisiatif itu juga bagi membantu pihak yang sukar mendapatkan cuti pada
waktu siang untuk menghadiri prosiding pada sebelah malam.
Beliau berkata prosiding sebelah malam kali pertama pada Isnin ini akan
dikendalikannya sendiri sebanyak dua kali dalam sebulan bermula pukul 8
hingga 10 malam.
Tambahnya, sesi perbicaraan malam itu akan diperluaskan ke dewan hakim Syarie lain secara berperingkat mengikut kesesuaian.
"Saya mengambil inisiatif tersebut bagi mempercepatkan perjalanan kes
khususnya bagi mengurangkan bilangan kes tertunggak yang tinggi di
negeri ini.
"Justeru, saya berharap semua hakim Syarie di Selangor bersedia untuk
mengadakan sesi 'night court' bagi mengurangkan kes tertunggak di dewan
masing-masing," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, prosiding pada waktu malam juga dilihat sebagai sumbangan
dan tanggungjawab sosial korporat yang dilakukan Mahkamah Syariah
Selangor dalam membantu masyarakat.
Mohd Naim pernah mengendalikan prosiding pada sebelah malam ketika
beliau menjadi Hakim Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 1998 hingga
2000 dan sepanjang tempoh itu, kira-kira 2,000 kes tertunggak berjaya
diselesaikan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan