HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Julai 2016

Najib perlu berterus-terang dalam isu 1MDB

Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali


SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berterus-terang berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mengenai sitaan hartanah bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setelah sekian lama skandal kewangan terbesar di negara ini disembunyikan, kebenaran berkaitan 1MDB terbongkar juga akhirnya menerusi kenyataan daripada DOJ tersebut.

“Ia mengesahkan dengan jelas bahawa sememangnya wujud satu konspirasi untuk menipu dan membersihkan berbilion dolar wang pembayar cukai yang di songlap oleh individu yang rapat dengan pemerintah tertinggi negara,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu 1MDB: Jabatan Kehakiman AS mahu rampas 17 aset]

Semalam, DOJ mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyita hartanah bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB yang merupakan sebahagian daripada AS$3.5 bilion yang dilarikan dari institusi itu dalam salah laku pecah amanah.

Selain itu, Azmin yang juga merupakan Menteri Besar Selangor turut memaklumkan bahawa walaupun nama Perdana Menteri tidak disebut, namun nama anak tirinya, Riza Aziz, Jho Low dan pegawai-pegawai kerajaan Abu Dhabi telah dipetik dalam sidang media semalam.

Beliau berkata, aset-aset yang terlibat termasuklah rumah penthouse, karya seni, jet peribadi dan kutipan dari filem "Wolf of Wall Street" yang didakwa diperoleh secara tidak sah menerusi wang dilencongkan dari 1MDB sewaktu Najib menjadi pengerusinya.

“Seperti dinyatakan sebelum ini, keputusan Najib Razak memecat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menggantikan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan mengenepikan pegawai-pegawai tertinggi SPRM yang terlibat aktif dalam siasatan 1MDB memberi petunjuk jelas akan konspirasi untuk menutup skandal ini.

“Mengambil kira perkembangan terbaru ini, Perdana Menteri tidak dapat lagi mengunci mulutnya dan perlu menjelaskan kepada negara tentang skandal ini,” katanya.


Tiada ulasan: