KUALA LUMPUR:
Seorang pelajar tahun akhir sebuah institut pengajian tinggi awam
(IPTA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini atas
pertuduhan memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas.
Siti Noor Aishah Atam, 29, pelajar
peringkat sarjana kursus Ussuludin membuat pengakuan itu selepas
pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk
Mohamad Shariff Abu Samah.
Siti Noor Aishah dituduh memiliki buku
itu yang merupakan item berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan
dengan kumpulan pengganas iaitu kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah
(JI), Islamic State (IS) dan Al Qaeda (AQ).
Dia yang kini ditahan di Penjara Kajang
didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 1241, Jalan Lapangan Terbang
Sura, Dungun, Terengganu pada 12.25 tengah hari, 22 Mac lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a)
Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh
tahun atau denda dan boleh dilucutkan mana-mana item tersebut, jika
sabit kesalahan.
Pada 19 April lepas wanita berkenaan
didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu atas pertuduhan itu.
Hari ini kesnya disebut di Mahkamah Tinggi di sini.
Mahkamah Tinggi menetapkan tiga hari hari mulai 5 Sept untuk perbicaraan kes itu.
Tertuduh diwakili peguam Mohd
Kamaruzaman A. Wahab, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa
Raya Norakmal Farhan Aziz. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan