PETALING JAYA: Pemuda PAS membantah penganjuran konsert bintang pop
antarabangsa, Salena Gomez yang akan diadakan di Stadium Melawati Shah
Alam pada 25 Julai ini.
Pengerusi Lajnah Dakwahnya, Hafez Sabri berkata, kemunculan artis
kelahiran Amerika Syarikat yang sering berpakaian seksi itu akan
mencemarkan kemuliaan Syawal yang sedang diraikan umat Islam.
"DPPM juga merakamkan rasa kesal dengan kebenaran yang diberikan oleh
pihak berkuasa kepada pihak penganjur konsert ini. Kemunculan artis ini
akan menghidupkan lagi budaya hedonisme di kalangan generasi muda di
negara kita," katanya menerusi satu kenyataan di sini, Isnin.
Selain itu Hafez menggesa tindakan proaktif Majlis Agama Islam Selangor
(Mais) bagi menyekat kehadiran Gomez yang dianggap boleh merosakkan
akidah umat Islam.
"Kerajaan atau pihak berkuasa sepatutnya perlu lebih tegas dan cermat sebelum meluluskan sesuatu penganjuran konsert.
"Kerajaan digesa agar merujuk dan menguatkuasakan Garis Panduan Hiburan
yang diterbitkan oleh Jakim dan diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Kebangsaan dalam kelulusan sebarang penganjuran konsert,"
katanya.
Kehadiran Gomez buat pertama kali di Malaysia merupakan sebahagian
daripada siri jelajah dunia "The Revival Tour" yang bermula di Amerika
Syarikat, Mei lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan