Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang
mengakhiri lawatan kerja dua hari ke Sri Lanka hari ini mengumumkan
sumbangan AS$100,000 untuk mewujudkan sebuah pusat Islam dan Melayu di
Colombo, Sri Lanka.
Bercakap kepada media Malaysia di Colombo, Ahmad Zahid menjelaskan
peruntukan itu bukannya daripada kerajaan, sebaliknya sumbangan daripada
sebuah yayasan.
"Pusat ini dapat membantu lebih 70,000 umat Islam dan Melayu terutama
untuk berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti seperti pembelajaran
bahasa Melayu," katanya di akhir lawatan kerja dua hari beliau ke negara
Asia Selatan itu.
Terdahulu timbalan perdana menteri bertemu wakil dan ahli Dunia
Melayu Dunia Islam (DMDI) cawangan Sri Lanka. DMDI beribu pejabat di
Melaka.
Ahmad Zahid berkata DMDI Sri Lanka meminta bantuan Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) dan Kementerian Pendidikan mengajar bahasa Melayu di
kalangan masyarakat itu di Sri Lanka.
Ahmad Zahid juga berkata beliau akan berbincang dengan DBP, Gabungan
Persatuan Penulis Nasional (Gapena) serta persatuan lain bagi meneliti
cara membantu masyarakat Melayu Sri Lanka dari segi menghantar tenaga
pengajar untuk mengajar bahasa Melayu.
"Mereka bersungguh-sungguh ingin belajar dan menghidupkan semula
bahasa dan budaya Melayu. Saya yakin ini boleh dilakukan...saya secara
peribadi akan bantu mereka," katanya.
Ahmad Zahid berkata masyarakat Melayu di Sri Lanka berasal dari Malaysia.
Menurutnya kebanyakan mereka terlibat dalam bidang perniagaan dan
mereka berusaha sekurang-kurangnya menjadi kumpulan berpendapatan
menengah yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara dan kemajuan
bahasa serta agama.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.