Bernama
Sebanyak 938 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan 747 Pusat Jagaan
Kanak-Kanak di seluruh negara didapati tidak mempunyai Sijil Perakuan
Pendaftaran bagi tempoh tahun 2014 hingga Jun tahun
ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani
Abdul Karim berkata antara faktor utama yang menyebabkan taska dan
pusat jagaan itu tidak memiliki sijil pendaftaran adalah kerana sukar
mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh
kementerian khususnya dalam aspek keselamatan.
"Untuk membezakan taska serta pusat jagaan yang berdaftar dan tidak
berdaftar adalah berdasarkan nombor pendaftaran yang terdapat pada
premis berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran
logo baharu Institut Sosial Malaysia (ISM), perasmian Taska ISM dan
majlis jalinan mesra Aidilfitri ISM di Auditorium ISM, di Kuala
Lumpur hari ini.
Beliau berkata, kementerian tidak akan berkompromi mengenai aspek
keselamatan di taska dan pusat jagaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini yang sering berulang.
Selain itu, setiap taska dan pusat jagaan juga perlu mempunyai ruang
yang bersesuaian dengan umur serta jumlah setiap kanak-kanak yang berada
di premis berkenaan, katanya.
Beliau berkata oleh kerana tidak mematuhi peraturan itu menyebabkan wujud Taska dan pusat jagaan yang tidak berdaftar.
"Bagi mengatasi masalah itu, kementerian menjalankan langkah
pemutihan sebagai tanda pihak kami amat serius menangani masalah ini,"
katanya.
Rohani berkata sehingga kini terdapat hanya 4,240 buah Taska dan
1,650 pusat jagaan berdaftar serta 750 lagi dalam proses mendaftar sijil
perakuan.
Mengenai majlis itu, beliau berkata logo baharu dan Taska ISM itu adalah sebahagian daripada pemerkasaan peranan ISM sebagai Pusat Kecemerlangan dalam bidang sosial dan pembangunan sosial.
Katanya, sehingga Julai tahun ini sebanyak 873 orang awam telah
mendapat manfaat daripada program latihan yang dijalankan oleh ISM,
manakala pada tahun lalu sebanyak 3,478 orang awam telah dilatih oleh
ISM berbanding hanya 2,189 pada tahun sebelumnya iaitu meningkat
sebanyak 58.9 peratus.
"Taska ISM ini disasarkan menjadi model Taska tempat kerja awam yang
boleh dicontohi oleh majikan sama ada jabatan kerajaan mahupun pihak
swasta," katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.