Halaman

Jumaat, 19 Ogos 2016

Anwar sekali lagi kejutkan PH akan gejala Mahathir?

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Pesan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada puteri ahli politiknya, Nurul Izzah ialah, sentiasa turun padang dan dekati rakyat supaya momentum dan kehangatan perjuangan pembangkang dapat dikekalkan. 
 
Nurul Izzah juga berkongsi pesanan Anwar yang mahu memastikan setiap gerak kerja pembangkang harus bersama rakyat dan itu mesti dijadikan keutamaan.
 
Menurutnya, Anwar juga tidak mahu ahli keluarga terlalu bimbang dengan keadaannya di penjara kerana ramai lagi ahli parlimen pembangkang yang berdepan dengan pelbagai tuduhan.
 
Justeru itu katanya, Anwar ingin memastikan pentadbiran di Malaysia tidak mengguna sebarang undang-undang yang menekan hak untuk berpolitik.
 
"Katanya, jika kita memusuhi sesiapa biarlah secara berdebat, berbahas, berdiskusi secara ilmiah untuk menghasilkan dasar yang terbaik buat negara,” tambah Nurul Izzah.
 
Persoalannya adakah pesanan Anwar ini reaksi terhadap garis perjuangan PAS kini yang disifatkan oleh presidennya, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bahawa politik Malaysia didominasi tiga blok atau jalur politik? 
 
Yang pertama jalur politik Umno-BN yang dikatakan Hadi sarat dengan kedurjanaan dan yang kedua jalur politik Pakatan Harapan (PH) yang bergumpal dalam emosi melampau dan ketiga Gagasan Sejahtera tajaan PAS-Ikatan?
 
Adakah sebab itu, maka Anwar mengutus Nurul Izzah sampaikan mesej supaya mengutamakan adab dalam berdepan dengan pemerintah dan menggerakkan usaha reformasi di negara ini?
 
Anwar dilihat mahu soal adab berbalah dan membangkang pemerintah serta bersilang pendapat sesama pembangkang  ditangani dengan santun dan bukan secara konfrontasi.
 
"Selain itu beliau (Anwar) sentiasa mengingatkan agar kita tidak hanya menumpukan kepada satu isu saja. Dahulukan isu rasuah, kronisme. Itu yang menyebabkan skandal 1MDB berlaku," katanya.
 
Pesan bekas Ketua Pembangkang itu jelas. Tiada jalan pintas untuk menyemarakkan perjuangan pembangkang mahu menumpaskan kerajaan Umno-BN hari ini kecuali kerja kuat. 
 
Soalnya, adakah nasihat ini didengari? Kini ramai pemimpin pembangkang mengerumuni Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru mendaftar parti politik baru walaupun ia mungkin hanya menambah bilangan parti politik pembangkang. 
 
Yang nyata dalam majlis membabitkan Mahathir dan presiden proksinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah boleh dihitung akan ada bersama pemimpin seperti Datuk Mahfuz Omar dan beberapa pemimpin PAS, DAP dan PKR. 
 
Ia memberi gambaran bahawa Mahathir sudah menjadi pola kepimpinan PH yang baru. Seolah-olah beliau mempunyai aura yang boleh menggantikan Anwar Ibrahim yang kini dalam penjara. 
 
Begitu tinggi harapan disandarkan pada Mahathir hingga Nurul Izzah terpaksa dengan seberapa takzim menepis kecenderungan pembangkang mahu meletakkan proksi Mahathir, Muhyiddin Yassin sebagai ketua pembangkang.
 
Jika ini menjadi realiti, ia memberi isyarat bahawa kepimpinan Ketua Pembangkang kini, ibu Nurul Izzah dan isteri Anwar sendiri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sudah dikira tidak berkesan mengisi kerusi itu.
 
Justeru Nurul Izzah menggunakan segala diplomasi politik yang diwarisi daripada bapanya mengikis pemikiran mempertikaikan ketrampilan ibunya.
 
Nurul yang juga ahli parlimen Lembah Pantai berlapik mengatakan PH sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi mereka menghormati syarat utama (reformasi) untuk mewujudkan timbang tara yang jelas di Malaysia.
 
"Sekiranya mereka tidak komited dengan reformasi, maka kita akan menukar pimpinan secara nama dari seorang individu kepada individu yang lain. Ini isu kerjasama, ia bergantung kepada jumlah kerusi yang dimenangi, itu normal.
 
"Kita kena ingat semasa DAP memenangi kerusi yang banyak majoriti pun, mereka yang mencadangkan supaya jawatan (ketua pembangkang) dipegang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Nurul Izzah.
 
Mesej Anwar melalui Nurul Izzah itu menyentak PH. Bukan pemimpin mereka tidak akur bahawa insiatif Deklarasi Rakyat yang digerakkan oleh Tun Mahathir kini sejuk dan gagal, tapi mereka terkesima dengan aura beliau.
 
Deklarasi yang memungut tandatangan rakyat  sebagai petisyen kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya menitahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, ternyata cacat dengan penipuan. 
 
Bila Anwar bersuara melalui anaknya, barulah terkocoh-kocoh kerabat PH membuat kenyataan. Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, biarlah Wan Azizah jalankan tugas dengan cemerlang.
 
Sementara Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke pula berkata, tidak adil dibincang siapa pengganti Wan Azizah sebagai ketua pembangkang sekarang. DAP sendiri tidak bincangkan soal itu. 
 
Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli memberi respons yang agak sinis. Katanya, jawatan ketua pembangkang bukan sahaja tidak menguntungkan Muhyiddin malah ia menjadi beban bagi beliau. 
 
Perkara ini mudah difahami. Jika pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diluluskan sekalipun Muhyiddin bukanlah presiden yang berkuasa mutlak. Beliau hanya boneka Mahathir. 
 
Justeru jika beliau juga adalah Ketua Pembangkang sudah tentu Mahathirlah yang akan menjadi ketua pembangkang yang de facto. 
 
Anwar masih teliti membaca perkembangan politik walau di sebalik tirai besi. Sekilas ada kempen yang cuba melonjakkan imej Mahathir dengan pelbagai cara termasuk taktik pungutan undi bagi parti Bersatu, dapat dihidu Anwar. 
 
Sebenarnya, khabar kononnya Muhyiddin akan dilantik ketua pembangkang, hanyalah ilusi yang cuba dimainkan oleh media tertentu. Ketiga-tiga jurucakap anggota PH bertutur jujur. 
 
Yang menjadi biang melebarkan ilusi ini ialah pihak yang amat taksub dengan Dr Mahathir yang secara langsung turut berkempen menyemarakkan idea Deklarasi Rakyat dan parti Bersatu.
 
Namun ada satu lagi dimensi pesan Anwar ini yang seolah-olah kurang diberi perhatian oleh PH. 
 
"Ingin saya kongsikan, selepas dipecat daripada Kabinet, Anwar dalam masa 18 hari telah selesai jelajah satu Malaysia. 
 
“Jadi pada saya, kita harus gerakkan rakyat supaya mereka dapat lihat, dapat rasakan momentum dengan keadaan di mana media dikawal," kata Nurul Izzah ketika mengumumkan pesan ayahnya itu.
 
Apakah pemimpin-pemimpin PH kini terlena dan masih dibuai impian bahawa jika pada PRU 13 mereka mendapat 51 peratus undi rakyat, secara automatik dalam PRU, PH akan melonjak menjadi pemerintah?
 
Atau, adakah PH kini terlalu yakin bahawa penyelesaian masalah mereka mengambil alih kuasa kini sudah berada di depan mata -  Tun Mahathir sudah bersama mereka?
 
Yang jelas, PH sudah meliar fokus mereka dan tenggelam dalam keriuhan banyak parti-parti pembangkang yang sebenarnya tidak membantu rakyat membentuk pemikiran politik yang bening dan benar.
 
Benar kata Hadi, politik Malaysia ada tiga blok. Dua – Umno-BN dan Gagasan Sejahtera – ada halatujunya. Namun PH masih diulet kegemilangan silam dan mengkhayalkan gejala Mahathir akan menjamin kemenangan.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.