MALAYSIAKINI
Semua individu adalah sama di sisi undang-undang di bawah
Perlembagaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Sehubungan itu mereka harus bertanggungjawab di bawah undang-undang.
Perkara itu diberitahu oleh Badan Peguam Malaysia di Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur hari ini dalam permohonan semakan kehakiman terhadap
keputusan peguam negara membersihkan perdana menteri daripada kes 1MDB.
Di hadapan Hakim Datuk Hanipah Farikullah, Badan Peguam juga
menyatakan bahawa 1MDB melibatkan wang pembayar cukai dan disokong oleh
jaminan kerajaan.
Atas sebab ini, Badan Peguam berkata ia mempunyai kepentingan untuk
mencabar keputusan yang dibuat oleh peguam negara kerana skandal 1MDB
"melibatkan dana awam yang hebat dan tidak pernah didengar di negara
ini".
Mereka berhujah bahawa Najib mungkin mempunyai konflik kepentingan
kerana beliau juga adalah menteri kewangan dan pengerusi penasihat
lembaga 1MDB.
Badan Peguam juga menegaskan bahawa Apandi juga mungkin bertindak di
dalam konflik apabila membuat keputusan membersihkan Najib dan
menasihatkannya agar tidak memberi jawapan di parlimen.
"Siasatan oleh agensi-agensi asing di Amerika Syarikat, Switzerland,
Singapura dan Luxembourg juga hebat dan tidak pernah didengari.
"Laporan mengenai masalah 1MDB adalah satu kes salah laku yang besar
dan terang-terangan dan ia mempunyai refleksi dahsyat di Malaysia,"
Badan Peguam Malaysia memberitahu mahkamah.
Mereka berkata, bagi sebab-sebab ini, mahkamah perlu memberi
kebenaran kepada mereka supaya permohonan penuh semakan kehakiman boleh
didengar berdasarkan merit.
Ini adalah permohonan kali ketiga untuk mencabar keputusan peguam negara.
Sebelum ini, mahkamah mendengar secara berasingan hujah daripada
peguam yang mewakili bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim dan bekas Naib
Ketua Bahagian Umno Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan untuk
mencabar keputusan Apandi kerana tidak mendakwa Najib.
Badan Peguam Malaysia diketuai oleh sepasukan peguam termasuk Tommy
Thomas, Datuk Ambiga Sreenevasan, S Ravindran dan Fahri Azzat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.