Seorang
bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat yang diletakkan
di lantai berhadapan pintu rumah ditemui orang awam di Cheras petang
semalam.
Bayi yang dipercayai keturunan Melayu itu ditemui pukul 2.15 petang
oleh orang awam di luar rumah Kediaman Putra Suria Residency, Jalan
Jelawat di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok
Sin berkata, bayi itu ditemui dalam keadaan berbalut dengan baju sejuk
berwarna kelabu dengan kain lampin pakai dan buang tanpa baju.
Hasil pemeriksaan turut menemui bungkusan lampin, botol susu, tisu
basah, susu tepung, minyak angin yang dimasukkan dalam beg plastik dan
dipercayai ditinggalkan di sebelah bayi malang itu.
Orang awam yang menjumpai bai tersebut kemudiannya menyerahkannya
kepada polis di kawasan berhampiran yang kemudiannya dihantar ke Pusat
Perubatan Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan.
Bayi itu juga dihantar ke Pejabat Kebajikan Masyarakat untuk tindakan susulan.
Berikutan kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki Melayu
berusia 25 tahun bagi membantu siasatan kes penemuan bayi itu pada pukul
12.30 tengahari tadi.
Kes itu kini disiasat dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan