shahbudindotcom
Dalam
pilihanraya umum 2013 lalu, BN menang 133 kerusi Parlimen, manakala
Pakatan Rakyat 89 kerusi. Berdasarkan jumlah kerusi Parlimen sebanyak
222 keseluruhannya, majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112
kerusi.
Bagaimanapun
BN berjaya mengurangkan jumlah kerusi PR dengan menawan semula Teluk
Intan dalam pilihanraya kecilnya yang menyaksikan Mah Siew Kong berjaya
menewaskan Dyana Sofya daripada DAP.
Ini
bermakna, Pakatan Harapan dicampur dengan BERSATU yang diinisiatifkan
penubuhannya oleh Tun Mahahir Mohamad dan diketuai oleh Muhyiddin
Yassin, hanya memerlukan kurang daripada 25 kerusi saja lagi untuk
menumbangkan BN dalam pilihanraya akan datang.
Jika
diandaikan semua kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan sekarang
ini mampu dikekalkan kerana kedudukannya di kawasan bandar, separa
bandar atau disebabkan faktor pengundi bukan Melayu yang agak ramai,
selain Pas juga berjaya mengekalkan kerusi mereka di Kelantan,
Terengganu dan Kedah, sasaran 25 kerusi yang ingin dimenangi itu sudah
tentu yang merupakan kerusi yang sekarang dipegang oleh UMNO.
Bermakna,
wujudnya BERSATU tidak lain ialah untuk menawan sebanyak mungkin
daripada 88 kerusi Parlimen yang sedang dikuasai UMNO.
Jika
dilihat, sama ada diperbualan harian dalam masyarakat atau di media
sosial, sambutan rakyat terhadap kewujudan BERSATU amat positif dan
memberangsangkan. Logo bunga raya bertebaran digunakan di media sosial
sebagai gambar profil tanpa rasa bimbang dan takut.
Setelah
pemimpin-pemimpin UMNO memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap
ahli-ahlinya yang mempromosikan parti baru itu atau memintanya keluar
secara sukarela, ia sebaliknya dibalas dengan gesaan agar BERSATU
diluluskan segera pendaftarannya supaya perpindahan keahlian secara sah
dapat dilakukan.
Ahli-ahli
UMNO yang menolak dan membenci Najib serta vokal dalam pendirian mereka
pasti akan keluar parti dan menyertai BERSATU sebaik ia diluluskan
nanti. Mereka hanya menunggu masanya saja, bahkan ada yang sedang giat
berkempen mengajak kawan-kawan dan keluarga untuk turut serta menjadi
ahli BERSATU.
Golongan ini tentu saja tidak lagi mengundi BN dalam pilihanraya akan datang.
Mereka
yang membenci Najib secara diam, tetapi masih sayang UMNO, ramai di
antaranya tidak mahu lagi memberi undi kepada BN kerana percaya ia hanya
akan membantu Najib untuk terus berkuasa. Berkuasanya Najib, bagi
mereka, hanya akan mengekalkan atau menambah kecelaruan sedia ada.
Mereka
ini lebih rela UMNO kalah atau hilang kuasa buat sepenggal dua daripada
melihat Najib terus menjadi Perdana Menteri. Mereka juga percaya,
setelah UMNO kalah dan majoriti pemimpin-pemimpin yang ada mengundurkan
diri, kehadiran muka-muka baru akan menjadikan parti itu mampu bangkit
semula dengan lebih dihormati selepas itu.
Terdapat
juga ramai ahli UMNO yang sekarang ini menjadi pasif berikutan skandal
kewangan dan pelbagai masalah yang dicetuskan oleh kepimpinan Najib.
Mereka tidak mahu ambil tahu apa-apa tentang UMNO, tidak hadir program
atau mesyuarat UMNO, bahkan berikrar tidak mahu turun mengundi dalam
pilihanraya akan datang.
Golongan
ini berpotensi mengurangkan jumlah undi UMNO dalam pilihanraya akan
datang. Mereka ini bukan saja tidak mahu Najib terus kekal, bahkan tidak
akan aktif dalam UMNO selagi suami Rosmah menjadi Perdana Menteri.
Itu
belum dikira lagi jumlah pengundi atas pagar, golongan muda dan mereka
yang tidak memihak kepada mana-mana parti yang akan berubah pendirian
berikutan kebencian, rasa meluat dan menolak kepimpinan Najib berikutan
cerita-cerita di media sosial yang tak berkesudahan.
Dalam
hal ini, kewujudan BERSATU memang memberi kelebihan kepada perubahan
yang ingin dilakukan. Dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Wanita,
Pemuda dan Puteri UMNO pada 2014, Muhyiddin pernah mengingatkan bahawa
perubahan sebanyak dua peratus saja pengundi yang beralih kepada
pembangkang akan menyebabkan BN kehilangan kuasanya.
Dengan
Tun Mahathir, Muhyiddin, Shafie Apdal dan Mukhriz sudah meninggalkan
UMNO, tidak saja usaha mengurangkan 25 kerusi UMNO itu menjadi lebih
mudah, malahan perubahan pengundi yang beralih juga mungkin melebihi dua
peratus.
Selain
BERSATU berupaya mengurangkan jumlah keahlian UMNO, ia juga paling
berpotensi menyebabkan BN kehilangan banyak undi. Dengan hanya kurang 25
kerusi untuk mengalahkan BN, apa yang perlu bagi Pakatan Harapan,
BERSATU dan Pas ialah memupuk persefahaman sebaik mungkin mulai
sekarang.
Ini
kerana, tidak mustahil kelulusan BERSATU akan dilengah-lengahkan atau
PRU 14 akan diawalkan sebelum BERSATU diberi kelulusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan