shahbudindotcom
Tindakan
Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar menutup siasatan berhubung dakwaan
wujudnya konspirasi mahu menjatuhkan Najib Razak oleh tiga Tan Sri dan
menyifatkan laporan polis yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda UMNO,
Khairul Azwan Harun hanya berdasarkan andaian, nampaknya tidak
menjadikan kes tersebut benar-benar tertutup.
Khairul
Azwan yang mengadakan sidang akhbar petang tadi bukan saja menolak
laporan polis yang dibuatnya berdasarkan andaian, malah juga mengatakan
tindakannya adalah mewakili suara Pemuda UMNO.
Sebelum
ini, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan laporan polis
yang dibuat oleh naibnya itu adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili
Pemuda UMNO.
Dengan
mempertahankan laporan polisnya bukan berdasarkan andaian serta
tindakannya adalah juga mewakili suara Pemuda UMNO, Khairul Azwan secara
sekaligus menolak tanggapan Khalid Abu Bakar dan KJ terhadap
tindakannya.
"Kami telah buat laporan polis, itu tindakan kami. Kami bertanggungjawab, jadi kami buat laporan.
"Ia
bukan andaian dan laporan polis telah kami buat. Tetapi saya difahamkan
polis tidak akan teruskan siasatan dan tiada tindakan akan diambil
terhadap saya," katanya lagi.
Khairul
Azwan juga mempertahankan laporan polis yang dibuatnya adalah
berdasarkan keyakinan dan kepercayaan di mana ia akhirnya telah berjaya
mematahkan percubaan mahu menjatuhkan Perdana Menteri.
Dalam
sidang akhbarnya itu, beliau mengungkapkan perkataan "kami" yang jelas
menggambarkan semua tindakan yang diambilnya adalah mewakili Pemuda UMNO
dan bukan dirinya secara individu.
Jadi, isu ini seolah-olah belum lagi tertutup. Malah Khairul sedang membukanya semula secara perlahan-lahan.
Apa reaksi seterusnya daripada Ketua Polis Negara berhubung kenyataan Khairul Azwan ini?
Apakah
Khalid akan terus mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa
dakwaan Khairul mengenai konspirasi itu hanya berdasarkan andaian atau
beliau sedia membuka semula siasatan?
Jika
hanya andaian, bagaimana Khairul Azwan begitu bangga bahawa laporan
polis yang dibuatnya telah berjaya menyelamatkan kedudukan Najib?
Mungkinkah
juga, demi mempertahankan kenyataan berkaitan andaian itu, pihak polis
sebaliknya akan membuka kertas siasatan terhadap Khairul atas dakwaan
membuat laporan palsu?
Bagaimana pula dengan KJ?
Adakah
beliau akan tetap berkeras bahawa tindakan Khairul Azwan adalah
bersifat peribadi dan tidak mewakili Pemuda UMNO atau sedia mengakui apa
yang diperkatakan naibnya itu?
Bagaimana jika Khairul Azwan dapat membuktikan tindakan membuat laporan polis telah mendapat restu daripada KJ sendiri?
Lagi
pun, tentu ramai yang sedar bahawa sehari sebelum beliau membuat
laporan polis yang mendakwa wujudnya konspirasi mahu menjatuhkan Najib
oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed, bekas Peguam
Negara, Gani Patail dan bekas Gabenor Bank Negara, Dr Zeti Akhtar Aziz,
telah diadakan mesyuarat bulanan Exco Pemuda UMNO.
Apakah tidak ada apa-apa perbincangan mengenai laporan polis itu dalam mesyuarat Exco Pemuda?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan