Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan
meminta Kementerian Pendidikan meneliti cadangan supaya Akta
Perlindungan Guru digubal bagi melindungi pendidik di zaman yang semakin
mencabar sekarang.
"Saya akan minta Kementerian Pendidikan supaya meneliti usul itu
dahulu sebelum ia dibawa ke Kabinet," katanya dalam ucapan penggulungan
pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh 2016, di sini hari
ini.
Mesyuarat yang dirasmikan Naib Presiden UMNO merangkap Menteri
Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu dihadiri 477
perwakilan.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Usul bagi penggubalan akta itu diluluskan mesyuarat selepas
dicadang oleh seorang perwakilan Wanita UMNO, Zalilawati Majidah yang
antara lain bertujuan melindungi guru daripada diserang, diugut dan
diancam oleh pelajar serta ibu bapa ketika menjalankan tugas rasmi.
Menurut Zalilawati, penggubalan akta itu juga bagi memberi
perlindungan dan pembelaan kepada guru sekiranya terlibat dalam sebarang
kes semasa menjalankan tugas rasmi atau tidak rasmi dalam kawasan
sekolah atau di luar sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.