MALAYSIAKINI
DAP
hari ini meminta campur tangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk
Seri Salleh Said Keruak bagi mengarahkan FINAS membatalkan proses
pencalonan untuk kategori Filem Terbaik Malaysia dalam Festival Filem
Malaysia (FFM) ke-28.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke berkata FFM perlu
menjalankan proses pencalonan semula dengan mengambil kira beberapa
filem berkualiti seperti Ola Bola dan Jagat bagi kategori filem terbaik.
Menurutnya, beliau juga telah menghubungi Salleh yang berjanji untuk
melihat dengan mendalam isu itu sejurus kembali ke Kuala Lumpur dari
Sabah pada Isnin depan.
"Saya berharap beliau dapat mengambil satu tindakan yang positif
untuk memperbetulkan keadaan ini dan tidak membiarkan isu segregasi
Festival Filem Malaysia ini mencemarkan kemuliaan bulan Ogos yang
sepatutnya diraikan sebagai bulan perpaduan nasional menjelang Hari
Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September," katanya
pada kenyataan media.
Tambahnya, isu segregasi FFM mengikut kategori bahasa yang berlainan
menimbulkan perdebatan hangat bukan sahaja di kalangan penggiat industri
seni malah di kalangan masyarakat umum.
"Rakyat Malaysia sudah mukup muak dengan isu-isu perkauman yang
ditimbulkan oleh puak-puak rasis dalam percaturan politik negara.
Janganlah sampai industri seni pun dicemarkan dengan sentimen
perkauman," katanya.
FFM ke-28 yang dijadual pada 3 September mencetuskan kontroversi
apabila mengasingkan pencalonan mengikut bahasa bukan Malaysia bagi
kategori Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.
Ekoran itu ia menerima kritikan daripada penggiat seni tanah air
termasuk pembikin filem, Afdlin Shauki yang mengumumkan untuk memboikot
FFM bagi tahun ini.
Terbaru, juru sinematografi untuk filem 'Bravo V, Md Nor Kassim, yang
dicalonkan untuk kategori sinematografi terbaik FFM ke-28, mengumumkan
menarik diri daripada pencalonan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.