HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Ogos 2016

Derma politik melebihi RM3,000 perlu diumumkan

MALAYSIA GAZETTE




Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) mencadangkan nama penyumbang derma yang melebihi RM3,000 didaftarkan dan diumumkan kepada orang ramai.

Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan juga tidak dibenarkan untuk memberi sumbangan politik, tetapi definisi berkenaan akan ditentukan Jabatan Peguam Negara kelak.

Sinchew Daily melaporkan, JKNMPP berharap undang-undang berkenaan dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Salah seorang ahli jawatankuasa, Gan Ping Sieu berkata, persefahaman telah dicapai untuk pelbagai perkara dan hanya tinggal usaha untuk memperincikan ayat dan perkataan yang sesuai.

Katanya, maklumat mengenai cadangan berkenaan dijangka dapat diumumkan seawal bulan depan.

Menurutnya, cadangan yang dikemukakan JKNMPP perlu diluluskan Kabinet selain membenarkan maklum balas daripada parti politik dan orang ramai.

"Matlamat jawatankuasa ialah undang-undang diwujudkan untuk mengawal selia sumbangan politik serta mengubah budaya politik negara ini," katanya.

Seorang ahli jawatankuasa yang namanya tidak disiarkan turut mengesahkan bahawa derma dari luar negara adalah tidak dibenarkan.

Namun begitu, cadangan JKNMPP berkenaan dilaporkan belum dimuktamadkan.


Tiada ulasan: