MALAYSIAKINI
Badak sumbu Sumatera semakin diancam kepupusan apabila jumlah haiwan itu berkurangan kepada hanya terdapat tiga ekor di Malaysia.
Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA) Datuk Dr John Payne
berkata pada masa ini, hanya terdapat seekor badak sumbu jantan dan dua
ekor badak sumbu betina di Sabah.
Beliau berkata pasukan pemuliharaan berada dalam misi yang terdesak bagi menyelamatkan baki badak sumbu Sumatera itu di negara ini.
"Tiga badak sumbu Sumatera yang ada, telah ditangkap dan ditempatkan dalam kurungan untuk program pembiakan sehingga ke hari ini," katanya selepas tayangan pra-tonton dokumentari 'Uncover Malaysia' mengenai 'Operation Sumatran Rhino' di Sunway Pyramid semalam.
Dr John Payne berkata ancaman terbesar dihadapi badak sumbu Sumatera itu
adalah pemburuan haram menyebabkan jumlah haiwan itu hanya tinggal
kepada tiga ekor di negara ini.
Beliau percaya spesis haiwan itu boleh diselamatkan melalui 'In-Vitro
Fertilisation (IVF)', sambil menambah proses IVF seterusnya akan
diadakan pada November tahun ini.
"BORA telah berusaha keras cuba menyelamatkan badak sumbu Sumatera yang
masih ada di Malaysia. Salah satu carabialah menangkap spesis haiwan itu
yang ada di hutan, satu proses berbahaya dan kos yang tinggi,
seterusnya membiak haiwan tersebut," katanya.
Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia, badak sumbu Sumatera adalah paling kecil dalam kalangan spesis badak dan ia satu-satunya badak di Asia yang mempunyai dua tanduk.
Badak sumbu Sumatera melahirkan seekor anak pada satu-satu masa, iaitu
setiap tiga hingga empat tahun dan proses haiwan tersebut bunting adalah
kira-kira 15 hingga 17 bulan.
Bagi mendorong kesedaran orang ramai terhadap nasib badak sumbu itu,
Saluran National Geographic, Astro dan usaha diketuai BORA bagi
menghasilkan dokumentari 'Uncover Malaysia' mengenai langkah-langkah
diambil untuk menyelamatkan badak sumbu Sumatera yang diancam kepupusan
itu.
Dokumentari itu akan ditayangkan dalam National Geographic Wild, saluran Astro 550 pada 8.40 malam 19 September.
Sementara bersempena Hari Badak Sedunia pada 22 September, dokumentari
itu akan disiarkan di National Geographic Wild, Saluran National
Geographic di saluran Astro 553 dan saluran HD 573 pada jam 7 malam.
Operasi menyelamatkan badak sumbu Sumatera adalah sebahagian kempen
'Uncover Malaysia' yang memperlihatkan kepada aspek-aspek berbeza di
Malaysia, memaparkan berita-berita budaya, seni kulinari dan proses
pemuliharaan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.