Oleh Shuhaniza Said
BESUT: PAS sedar kesukaran untuk mereka mendapatkan sokongan bagi
meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 pada
sidang Parlimen Oktober depan.
Bagaimanapun, ujar Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik
Mohamad Zawawi Nik Salleh, soal dapatkan sokongan ahli Parlimen itu
adalah 'kedua terpenting' kerana PAS lebih menitik beratkan perihal
tanggungjawab kepada Yang Esa sebagai keutamaan.
"Kita di dalam PAS, masalah sokongan kita letakkan ia satu perkara
penting tapi nombor dua. Yang pertama kita nak pastikan kita boleh bawa
(RUU) supaya tanggungjawab dengan Allah SWT terlepas.
"Kita dah usaha dan ikhtiar. Sokongan kita sangat-sangat harap daripada
semua pihak dan parti politik yang mewakili ahli parlimen ini, supaya
mereka memberi sokongan kerana isu ini bukan isu PAS, bukan isu kerajaan
Kelantan.
"Tapi ia adalah isu tanggungjawab kita semua. Kita yakin insy-Allah
ahli parlimen beragama Islam akan sokong," katanya dalam satu temubual
eksklusif bersama Antarapos, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesukaran yang bakal dihadapi
oleh PAS dalam meminda Akta 355, termasuk dari kalangan ahli parlimen
beragama Islam daripada Umno, PKR dan Amanah.
Malah tambah Nik Zawawi, ahli-ahli Parlimen yang mengkritik kononnya
RUU Persendirian bagi meminda Akta 355 sebagai tidak kemas, disarankan
bersemuka bagi bersama-sama membetulkan 'kecacatan' undang-undang
berkenaan.
"Kalau kata tidak kemas, marilah tolong perkemaskan apa kecacatan.
Sebab RUU ini macam mana sekalipun ia tak kemas, yang kemas hanya satu
saja iaitu Al-Quran. Enakmen ini kita sedut daripada Al Quran dan kita
ayat sendiri mengikut situasi, mengikut keadaan.
"Jadi kalau ada orang kritik, bermakna dia tidak jujur dan tidak ikhlas
dengan Allah SWT dan mereka ini jenis yang pandai bangkang saja.
Bangkang ini memang mudah," ujar beliau.
Ketika ditanya perancangan PAS sekiranya langkah untuk meminda Akta 355
gagal mendapat sokongan di parlimen kelak, ujar Nik Zawawi, parti akan
membincangkan semula berhubung pendekatan seterusnya dengan pihak-pihak
yang berkenaan.
Namun ujar Nik Zawawi, beliau optimis ahli-ahli parlimen beragama Islam
akan menyokong usaha PAS meminda Akta 355 atas kesedaran sebagai
seorang Muslim.
"Saya nampak Insya-Allah orang Islam akan sokong semua, kalau tak
sokong, teruk lah dia. Sebab perkara ini perkara Allah, kalau tak sokong
apa erti dia seorang beragama Islam, apa erti dia beriman kepada Al
Quran kalau tak sokong," katanya.
Ketika ini, Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia sedang melancarkan
kempen bagi mengumpul sejuta tanda tangan daripada rakyat Malaysia bagi
menentang usaha PAS meminda Akta 355.
Presidennya, Tan Sri Khoo Chai Kaa berkata, kempen yang dilancarkan
pada Jun lalu setakat ini telah mengumpul 400,000 tandatangan.
Tandatangan yang dikumpulkan itu ujarnya akan diserahkan kepada semua 222 Ahli Parlimen pada September depan.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan membentangkan
usul untuk meminda Akta 355 pada persidangan Dewan Rakyat, Oktober ini,
selepas memohon menangguhkan usul berkenaan Mei lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.