KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Ahmad Razif Abd. Rahman dan atlet
berbasikal negara, Azizulhasni Awang telah bersemuka dan isu yang
digembar-gemburkan tentang bantuan basikal telah diselesaikan secara
baik.
Kedua-duanya mengadakan pertemuan malam tadi dan mengambil pendekatan
positif dengan merancang pelbagai perkara demi kebaikan kerajaan negeri
serta pembangunan sukan di negeri ini.
Ahmad Razif yang dihubungi pemberita hari ini berkata, beliau sentiasa
berlapang dada untuk mendengar permasalahan yang berlaku akibat salah
faham dan bersyukur kerana isu tersebut telah selesai.
"Syukur Alhamdulillah, semuanya selesai," katanya.
Pertemuan yang berlangsung selama dua jam di sebuah restoran di Kuala
Lumpur turut dihadiri dua lagi atlet berasal daripada Terengganu iaitu
Fatihah Mustapa (berbasikal) serta Hafifi Mansor (angkat berat).
Azizul yang memenangi pingat gangsa dalam acara Keirin di Olimpik Rio,
sebelum ini dilapor sebagai berkata Ahmad Razif tidak mempedulikan
permohonan pihaknya untuk membeli basikal 'roadbike' untuk beliau dan
Fatihah gunakan sebagai persediaan ke Rio, menerusi laman Facebook 'Jojo
Knoxville'.
Manakala Ahmad Razif dalam kenyataan balasnya menegaskan bahawa beliau
tidak tahu menahu mengenai permohonan tersebut malah tidak pernah
mengenali pengurus Azizilhasni yang dikatakan cuba berhubung dengan
beliau.
Beliau turut mengarahkan Majlis Sukan Negeri (MSN) menyiasat dakwaan itu dan mengesan sekiranya berlaku sebarang salah faham.
Sementara itu, ketika pertemuan tersebut, Azizulhasni yang turut
mambawa seorang anaknya kelihatan mesra malah memeluk serta bersalam
dengan Ahmad Razif.
"Saya amat berbangga dengan kejayaan anak-anak Terengganu termasuk Azizulhasni," kata Ahmad Razif.
Menerusi laman Facebook miliknya pula, Ahmad Razif menyatakan bahawa
beliau tidak pernah mengabaikan anak-anak muda daripada Terengganu dan
mengakui bahawa apa yang berlaku mungkin terdapat kesilapan antara
kedua-duanya.
Berikutan itu beliau memohon agar tiada pihak lain yang memperbesarkan
isu itu lagi, yang bagaikan menghidupkan api yang telah padam.
"Malah malam tadi ketika makan malam bersama Fatehah, Azizulhasni dan
Hafifi, saya telah menerangkan apa yang terbuku di hati saya dan saya
turut mendengar setiap keluh kesah, cabaran serta pengalaman yang mereka
lalui untuk berada pada tahap ini sekarang.
"Kita akan usahakan janji yang telah dikatakan iaitu untuk membuka
galeri yang akan mempamerkan semua kejayaan yang telah dicapai oleh
anak-anak Terengganu termasuk mereka bertiga supaya generasi akan datang
tahu jasa dan bakti yang telah mereka lakukan untuk negeri ini,"
luahnya di laman sosial tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan