Oleh Shuhaniza Said
PUTRAJAYA: Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham
Shaharin hari ini tampil mendedahkan identiti proksi Menteri Besar
Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dalam syarikat pemaju yang terlibat dalam
isu pertukaran status Paya Indah Wetlands.
Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa, proksi Azmin itu
dikenali sebagai Zainol Abidin Mohamad, yang merupakan Ketua AMK Gombak
merangkap pengarah projek di syarikat pemaju yang terlibat dalam
pembangunan di lot tanah 68054 seluas 619 hektar di Mukim Tanjong Dua
Belas, Kuala Langat.
Beliau mendakwa identiti proksi itu dikesan daripada dokumen yang
dihantar melalui aplikasi 'Whats App' kepada semua exco kerajaan negeri
Selangor, sekaligus menggambarkan hubungan rapat lelaki itu dengan
Azmin.
"Whats App ini daripada telefon salah seorang exco kerajaan negeri Selangor.
"Whats App ini dihantar kepada semua exco yang dinyatakan permohonan
tukar status tanah ini akan dibawa ke mesyuarat kerajaan negeri.
"Siapa yang hantar (Whats App)? Namanya disimpan sebagai Zainol AMK
Gombak dan tandatangan dalam (dokumen) Whats App itu adalah Zainol
Abidin Mohamad Pengarah Projek Ketua AMK Gombak. Menteri Besar Selangor
ialah Ketua PKR Gombak.
"Surat-surat ini dihantar kepada penjawat-penjawat awam yang lain dan
ini menjelaskan kenapa jabatan kerajaan dan empat menteri besar yang
selama ini menolak (permohonan), tapi tiba-tiba menerima dan bersetuju.
"Ini satu pertembungan konflik kepentingan yang sangat serius," katanya
sambil menunjukkan gambar lelaki yang didakwa proksi Azmin itu kepada
media.
Ujarnya, Azmin mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri dalam keadaan
sedar dan mengetahui kewujudan proksi yang bertindak menggunakan namanya
dalam syarikat pemaju.
"Bukan status tanah sahaja bertukar malah hutan simpan Kuala Langat
Utara Paya Indah Wetland turut ditukar hanya kerana memenuhi nafsu
pemaju yang ada proksi dalam kerajaan negeri," ujarnya.
Chegubard hari ini hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) di sini bagi membuat laporan mengenai salah laku Azmin,
berhubung kontroversi penukaran status tanah di Lot 68054 Paya Indah
Wetlands.
Beliau terdahulu membuat sidang media di hadapan pejabat SPRM dan
mengedarkan booklet #skandalAzmin68054 setebal 16 halaman yang
didakwanya sebagai mengandungi 80 peratus bukti salah guna kuasa
bersabit kontroversi di lot tanah di Paya Indah Wetlands.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.