Khairy Jamaluddin
SEPANG - Pemuda Umno diingatkan supaya tidak mengambil mudah penubuhan parti baharu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan beranggapan parti kecil itu tidak akan bertahan lama.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, adalah terlalu angkuh untuk menganggap sedemikian kerana parti baharu itu ditunjangi nama-nama besar seperti Tun Mahathir sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
"Saya tidak mahu dengar ada kalangan Pemuda berkata ia hanyalah parti serpihan atau parti kecil yang tidak akan bertahan lama...itu angkuh namanya dan orang Melayu tidak suka.
"Sepatutnya kita kata tidak apa, penubuhan parti itu kita ambil serius sebab yang tubuhkannya adalah orang-orang besar, namun kita tetap yakin dan percaya parti itu tidak akan mendapat sokongan majoriti orang Melayu berbanding Umno," katanya.
Berucap semasa menutup Persidangan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Sepang di sini, malam tadi Khairy berkata keadaan mungkin berubah jika parti yang akan ditubuhkan itu membawa agenda lebih besar kepada negara, bukannya semata-mata untuk menjatuhkan seorang pemimpin.
Beliau berkata hasrat parti yang dikatakan bakal diterajui Muhyiddin itu, bertujuan menarik sokongan dari kalangan penyokong dan ahli Umno bagi menjayakan agenda menjatuhkan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh Pemuda selaku benteng hadapan parti.
Selagi Presiden tidak membuat perkara yang salah, selagi memegang amanah dengan baik, tanggungjawab kita sebagai orang muda di dalam parti adalah untuk mempertahankan institusi presiden dan kepimpinan parti yang dipilih secara demokratik, katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.