MALAYSIAKINI
Bekas
Naib Pengerusi Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu
Hassan berkata, beliau tidak berminat untuk menyertai parti baru yang
bakal dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, ujar Khairuddin, beliau tetap meneruskan perjuangan
melawan amalan rasuah secara habis-habisan di negara ini tanpa perlu
berada dalam parti politik baru.
"Sebelum Muhyiddin bercakap tentang isu 1MDB, saya secara
bersendirian telah mengambil langkah proaktif memerangi skandal tersebut
bersama dengan beberapa pemimpin pembangkang.
"Sekiranya kita ikhlas untuk berjuang, tanpa sebarang jawatan politik
pun kita boleh berjuang," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Datuk A Kadir Jasin hari ini mengesahkan bahawa parti politik baru
yang akan didaftarkan oleh Muhyiddin adalah parti Melayu/Bumiputera
(peribumi).
“Ia bermatlamat mewarisi, meneruskan dan memperbaharui perjuangan
Melayu/Bumiputera dalam era globalisasi, reformasi, ketelusan dan
keterbukaan.
“Ia akan bekerjasama secara terangkum (inclusive) dengan parti-parti politik yang kini menentang BN. Perbincangan awal telah pun dimulakan,” katanya di blog.
Terdahulu, Muhyiddin mengesahkan beliau akan mendaftarkan sebuah parti politik baru dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Sama-samalah kita berdoa semoga permohonan ini akan diluluskan,
Insya-Allah, kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara,"
katanya.
Jawatankuasa penaja parti itu terdiri daripada Tun Dr Mahathir
Mohamad sebagai pengerusi, manakala Tan Sri Muhyiddin, Kamarul Azman
Habibur Rahman dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing sebagai
presiden, setiausaha dan bendahari.
Ahli jawatankuasa terdiri daripada bekas ketua wanita Umno Langkawi
Anina Saadudin, bekas ketua Pemuda Umno, Bendang Baru Akhramsyah Sanusi
dan pemimpin kumpulan belia Challenger, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, hubungan peribadi beliau dengan
Mahathir tetap terjalin erat kerana bekas perdana menteri itu adalah
'segala-gala' baginya.
"Tidak ada sesiapapun yang boleh pisahkan saya dengan Mahathir selain Allah Taala.
"Dalam apa jua situasi, saya akan tetap setia, taat kepada Mahathir atas dasar peribadi," tambah beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan