SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo
berpandangan kerajaan negeri sewajarnya mengadakan sesi pendengaran awam
sebelum sebarang penukaran status tanah dilakukan.
Menurut Mohamad Khir, ia adalah prosedur yang ditetapkan dalam Kanun Tanah Negara membabitkan status tanah.
Beliau merujuk kepada isu membabitkan tanah di Paya Indah Wetlands,
yang mencetuskan kontroversi susulan pendedahan seorang ahli PKR, Badrul
Hisham Shaharin baru-baru ini.
"Paya Indah Wetlands sudah diwartakan sebagai 'world heritage' (warisan dunia).
"Jika selepas ia (pendengaran awam) dilakukan, ada orang yang
membangkang, maka kerajaan negeri perlu mengambil tindakan yang
sepatutnya.
"Ini adalah satu kawasan yang dianggap cukup bernilai untuk masa depan
anak-anak kita," katanya kepada pemberita semalam, sebagai mengulas
mengenai dakwaan bahawa kerajaan negeri mengubah status tanah di Paya
Indah Wetlands.
Beliau dalam pada itu turut mendedahkan bahawa dirinya pernah menerima
permohonan daripada pemaju untuk membangunkan kawasan berkenaan sewaktu
menjadi Menteri Besar dahulu.
"Saya kata, carilah kawasan lain. Kita juga faham kerajaan persekutuan sudah melabur banyak untuk memelihara kawasan itu.
"Sehubungan itu kita berharap kerajaan negeri mempertimbangkan soal pembangunan (di situ)," katanya.
Minggu lalu, Badrul Hisham atau Chegubard mendakwa Menteri Besar, Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali melalui satu mesyuarat telah meluluskan
penukaran status tanah tersebut dari pertanian (terhad) kepada kawasan
pembangunan.
Dakwaan Chegubard itu disangkal Exco Pelancongan, Alam Sekitar,
Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong yang
mengatakan kerajaan negeri tidak melakukan mengubah status tanah di Paya
Indah Wetlands.
Bagaimanapun Chegubard membidas dan mengatakan penafian Elizabeth sebagai palsu.
Dalam kenyataan di blognya, Chegubard turut menerbitkan apa yang
didakwa beliau sebagai minit mesyuarat exco sebagai bukti untuk
menyokong hujahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.