PUTRAJAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (KPKT) akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Selangor
bagi memohon mengambil alih pengurusan dan penyelenggaran bangunan
Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu.
Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata langkah itu merupakan sebahagian
daripada transformasi serta pendekatan baharu kementerian dalam
pengurusan PPR selepas melihat kegagalan kerajaan negeri dalam
menguruskan PPR di Lembah Subang 1.
"PPR merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan dalam membantu rakyat
tetapi apa yang mengecewakan ada negeri yang gagal menguruskannya dengan
baik seperti
Selangor.
"Contohnya, PPR Lembah Subang 1 mempunyai lebih 3,000 unit rumah tetapi
penghuninya hidup dalam persekitaran bangunan yang tidak bersih dan
tidak diselenggara dengan baik sedangkan kutipan sewa dibuat kerajaan
negeri," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Noh yang terdahulu menyaksikan pemeterian perjanjian kontrak perolehan
dua unit helikopter AW189 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, berkata
kementeriannya akan menjadikan PPR Lembah Subang 1 sebagai model kepada
negeri-negeri lain dalam merealisasikan transformasi pengurusan
bangunan PPR.
Selain Lembah Subang 1, terdapat tiga lagi PPR di Selangor iaitu PPR
Lembah Subang 2, Serendah dan Taman Danau di Hulu Bernam dengan jumlah
keseluruhan
lebih 5,000 unit, katanya.
Noh berkata selain Selangor, transformasi pengurusan PPR itu akan
dibuat secara berperingkat di seluruh negara membabitkan 80,252 unit
rumah kecuali Putrajaya dan Labuan.
Berhubung pembelian helikopter Augusta AW189, Noh berkata perolehan
aset buatan Itali bernilai RM201 juta yang akan diterima pada Ogos 2017
dan April 2018 itu mampu menawarkan khidmat bantuan udara yang lebih
cekap dan berkesan dalam operasi menyelamat dan kebombaan, khususnya di
Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata kelengkapan bantuan udara itu akan menjanjikan
perkhidmatan menyelamat dan pemadaman kebakaran menjadi lebih cekap dan
berkesan tanpa batasan masa dan geografi selain bantuan tujuh helikopter
yang dimiliki jabatan ketika ini.
Helikopter yang mampu membawa maksimum 19 penumpang dengan jarak
penerbangan sejauh 777,84 kilometer itu juga boleh digunakan dalam
memberi bantuan udara kepada agensi lain seperti Kementerian Kesihatan,
Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kemajuan Orang Asli, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan