MUTAKHIR– (1) Khairy
kata wajib pertahan ketua dan “kebenaran” walaupun digelar macai dan balaci.
Hebat! Bagi mengiktiraf kedudukan Khairy sebagai “capo di tutt’i capi” kepada segala
macai dan balaci Pemuda Umno, saya cadangkan kita beri beliau gelaran khas –
kamjat.
Posting Asal
PADA 29 Julai, empat hari selepas Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun membuat laporan polis dengan tuduhan yang sangat berat barulah Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, bersuara.
Beliau berkata tindakan Khairul
Azwan - orang nombor dua pergerakan pemuda itu - adalah tindakan peribadi dan
bukan tindakan parti.
Pada 26 Julai, Khairul Azwan membuat aduan polis di Jalan Dang Wangi terhadap bekas Peguam Negara (Tan Sri) Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara (Tan Sri) Zeti Akthar Aziz dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), (Tan Sri) Abu Kasim Mohamed.
Beliau mendakwa ketiga-tiga individu itu dipercayai terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Mohd Najib dan kerajaan Malaysia.
Soalnya mengapakah Mohd Najib mengambil
masa begitu lama untuk mengulas satu isu besar yang menyentuh batang tubuh
beliau sendiri?
Begitu juga dengan Ketua Pemuda
Khairy Jamaluddin. Hanya pada 30 Julai, sehari selepas Mohd Najib membuat
kenyataan, barulah beliau bersuara dengan berkata bahawa tindakan Khairul Azwan
itu bersifat individu dan tidak mewakili pendirian Pemuda.
![]() |
| Khairy (kiri) tak tahu apa Khairul Azwan (kanan) buat? |
Mengapa mereka mengambil masa begitu lama untuk memberi penjelasan sedangkan tindakan orang nombor dua Pemuda itu sudah dibincangkan secara meluas oleh media atas talian dan sosial?
Tanda Tanya
1. Adakah kerana Umno begitu
demokratik sehingga seorang pemuka pertengahan seperti Khairul Azwan bebas
bertindak atas kapasiti peribadi ke atas hal-hal yang menyentuh kebajikan
presiden parti sendiri?
2. Kalau Umno begitu demokratik, mengapakah Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan ahli Majlis Tertinggi (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dibuang parti dan Naib Presiden (Datuk Seri Shafie Apdal) digantung keahlian kerana mengkritik Mohd Najib?
3. Adakah kebebasan dalam Umno hanya untuk memuji, memuja, mengampu dan mempertahankan Presiden dan konco-konconya sahaja?
4. Adakah Khairy juga begitu demokratik atau tidak peduli hal ehwal parti sehingga orang bawahan beliau membuat laporan polis yang jelas boleh menjadi senjata makan tuan kepada Presiden parti?
5. Atau Khairy tahu dan bagi restu tetapi buat-buat tidak tahu kerana laporan polis Khairul Azwan itu adalah jenis senjata makan tuan dan udang sebalik batu?
6. Atau Mohd Najib sendiri baru sedar bahawa laporan Khairul Azwan itu sangat berbahaya ke atas diri beliau sekiranya polis menyiasat aduan itu tanpa rasa takut dan bebas?
Konspirasi Dalaman Umno
Penafian dan penjelasan lewat
oleh Mohd Najib dan Khairy mengukuhkan lagi teori bahawa wujud unsur-unsur
persekongkolan (conspiracy) dalam tindakan Khairul Azwan itu.
Lagi teruk ia bukan satu tetapi
dua konspirasi yang berlainan dan bercanggahan tetapi dengan kesan yang sama
buruk terhadap Mohd Najib.
Pertama, konspirasi untuk
memperluaskan tindakan undang-undang ke atas semua pihak yang terbabit dalam
usaha menggesa Mohd Najib meletakkan jawatan.
Laporan polis ke atas Abdul
Gani, Zeti dan Abu Kassim adalah kes ujian (test case) dan pendahulu kerana
peranan mereka dalam siasatan ke atas SRC International Sdn Berhad, “derma”
RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Mohd Najib dan skandal 1MDB.
Kedua, konspirasi dalaman Umno
untuk menggunakan tiga tokoh itu bagai “membenamkan paku terakhir atas keranda”
Mohd Najib.
Konspirasi pertama adalah
langkah Pemuda untuk mengambil hati Mohd Najib dan yang kedua, pemberontakan Pemuda
terhadap Mohd Najib.
Kalau saya andaikan bahawa
Pemuda Umno masih ada keberanian, kepedulian terhadap keluh kesah akar umbi dan
mementingkan kelangsungan (survival) parti, tindakan Khairul Azwan itu jatuh
dalam kategori kedua, iaitu pemberontakan terhadap Mohd Najib.
Kalau konspirasi itu adalah
untuk menyelamatkan Mohd Najib, kesannya adalah sebaliknya. Lebih ramai
rakyat jelata bersimpati dengan tiga orang itu dan bertambah benci terhadap
Mohd Najib dan Umno.
Tetapi sekiranya konspirasi itu
adalah untuk menggugat (undermine) Mohd Najib dari dalam maka ia mengukuhkan lagi
satu teori yang sedang rancak dibincangkan.
Teori itu mengatakan bahawa sedang berlaku penjajaran (alignment) di kalangan pemimpin tertinggi Umno yang melibatkan Pemuda sebagai pelakon utama.
Pemuda mempunyai kepentingan
(stake) yang tinggi dalam penjajaran tersebut.
Kalau Umno selamat, Pemuda akan menjadi pewarisnya tetapi kalau Umno musnah kerana Mohd Najib, Pemuda terpaksa membangsat mencari perlindungan.
Kalau Umno selamat, Pemuda akan menjadi pewarisnya tetapi kalau Umno musnah kerana Mohd Najib, Pemuda terpaksa membangsat mencari perlindungan.
Akan tetapi, sekiranya apa yang
saya coret di atas hanyalah khayalan saya mengenai keintelektualan dan komitmen
Pemuda Umno kepada perjuangan maka tindakan Khairul Azwan itu - seperti kata
ramai pembahas sosial media - adalah tindakan otak udang dan publisiti murahan.
NOTA KAKI: Hari ini, 1 Ogos 2016, berkuat-kuasalah Akta Majlis
Keselamatan Dalam Negeri (AMKDN) 2015 walaupun tidak mendapat perkenan rasmi
Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.
Wallahuaklam.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan