MALAYSIAKINI
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata beliau masih berhak
menyaman blogger yang menuduh beliau bersekongkol dengan Tun Dr
Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan perdana menteri sekalipun blogger itu
sudah memohon maaf.
"Memang dia sudah minta maaf dan tarik balik dakwaan yang dibuat...
tetapi saya masih berhak untuk saman beliau kerana fitnah itu telah
merosakkan reputasi saya," kata Azlan.
Menteri besar itu berkata fitnah yang sengaja ditimbulkan blogger itu
adalah serius kerana ia tidak hanya melibatkan rakyat di Perlis tetapi
juga seluruh Malaysia.
Azlan menyatakan hal ini kepada pemberita sejurus selepas penangguhan persidangan hari kedua Dewan Undangan Negeri semalam.
Menteri Besar berkata, "Walaupun dia dah mohon maaf tetapi ramai yang telah membaca tulisannya dan membuat pelbagai andaian.
"Malah apabila dia memohon maaf secara menulis di blog sahaja, pasti ada yang baca dan tidak membacanya.
"Apa pun perbuatan itu telah memburukkan imej saya, dan saya mahu dia
menerbitkan permohonan maaf dan menarik semula dakwaan jahat beliau
terhadap saya menerusi media elektronik dan cetak, sebolehnya di semua
laman media sosial dengan serta merta," tegasnya.
Azlan berkata tulisan blogger itu nyata bersifat pembohongan, fitnah dan
berniat jahat selain cuba menimbulkan permusuhan antara beliau dengan
perdana menteri.
"Bagaimana dia boleh mendakwa saya tidak menyokong perdana menteri
sedangkan saya merupakan pemimpin utama di Perlis yang tanpa
berbelah-bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib.
"Saya pernah tegaskan bahawa di dalam konteks Umno, kita mesti setia kepada kepimpinan," kata Azlan.
Beliau berkata, blogger tersebut telah membuat permohonan maaf menerusi blognya pada 31 Julai lepas.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.