shahbudindotcom
Perkara
yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia sekarang ialah bilakah
parti baru yang mahu ditubuhkan oleh Tun Mahathir Mohamad akan menjadi
kenyataan.
Sehingga
ini bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu difahamkan telah
mengadakan beberapa pertemuan serta perbincangan dengan pelbagai pihak
yang berkepentingan mengenainya, malah hasrat menubuhkan parti baru itu
turut dibincangkan dengan pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan.
Tidak
saja Pakatan Harapan menyambut baik kewujudan parti baru itu serta
menyatakan kesediaan untuk saling bekerjasama, malah Anwar Ibrahim yang
sedang berada di penjara juga turut sama mengalu-alukannya.
Tun
Mahathir, Muhyddin Yassin dan Mukhriz Mahathir pula sudah beberapa
bercakap mengenai parti baru itu yang bukan saja ditubuhkan untuk
menyaingi UMNO, bahkan diyakini mampu menumbangkannya.
Setelah masa kian berlalu, bilakah parti baru itu akan menjadi kenyataan?
Esok? Minggu depan? Bulan depan? Tahun hadapan?
Semua dalam debaran.
Bukan saja rakyat ternanti-nanti, malah pemimpin-pemimpin UMNO juga sedang berdebar-debar menunggunya.
Jika
dilihat berdasarkan komen-komen melalui media, pemimpin UMNO yang
"lurus bendul" akan berterus-terang mengatakan parti baru itu tidak
perlu diwujudkan kerana akan memecah-belahkan rakyat, perjuangan Tun
Mahathir yang dulunya hanya mahu menyingkirkan Najib sudah tersasar jauh
dan pelbagai lagi nada yang mirip sepertinya.
Tetapi,
bagi pemimpin yang "malu-malu kucing" dan ingin menutup kerisauan
dalam hati, mereka akan berkata, parti baru itu akan menambahkan
perpaduan ahli-ahli UMNO, memberi motivasi untuk UMNO lebih berjaya,
UMNO tetap keramat di hati rakyat dan seumpamanya lagi.
Hakikatnya,
baik yang "lurus bendul" atau yang "malu-malu kucing", mereka sedar
akan kemampuan dan daya fikir Tun Mahathir dalam mengalahkan musuh-musuh
politiknya.
Lalu, kenapa sehingga sekarang masih belum ditubuhkan lagi parti baru itu?
Apakah
Tun Mahathir akan membuat pendaftaran baru atau mengambil alih
mana-mana parti yang tidak aktif dengan menukar nama dan
perlembagaannya?
Meskipun
Tun Mahathir lebih digalakkan mengambil alih mana-mana parti yang
sudah wujud dan tidak aktif kerana ia lebih menjimatkan masa, bahkan
sudah bertemu dengan beberapa pemilik yang sedia berbuat demikian, bekas
Perdana Menteri itu dikatakan mempunyai pertimbangan lain setakat ini.
Tun
Mahathir difahamkan lebih berminat untuk mendaftar sebuah parti politik
baru di mana beliau bersama ahli jawatankuasa penajanya akan pergi
sendiri ke pejabat Pendaftar Pertubuhan bagi maksud tersebut.
Tujuan
Tun Mahathir pergi sendiri itu bukan saja untuk menunjukkan kepada
rakyat kesungguhannya untuk menumbangkan UMNO dan BN, malah untuk
melihat sejauh mana kerajaan benar-benar bersikap terbuka, demokratik
dan sedia meluluskan parti baru tersebut.
Difahamkan
sehingga ini itulah pilihan utama Tun Mahathir berkenaan parti baru
itu. Hanya jika pendaftaran itu ditolak atau tidak diluluskan, barulah
pilihan lain akan dilakukan.
Namun
demikian, meskipun Tun Mahathir akan menjadi penggerak utama penubuhan
parti baru itu, beliau tidak akan memegang apa-apa jawatan, jauh sekali
untuk bertanding semula dalam pilihanraya akan datang.
Hampir
pasti parti itu akan diketuai oleh Muhyiddin Yassin dan Mukhriz sebagai
pemimpin nombor duanya, sementara Shafie Apdal akan menubuhkan sebuah
parti lain yang berkonsepkan "Sabah untuk rakyat Sabah."

Tiada ulasan:
Catat Ulasan