PUTRAJAYA:
Keputusan mengenai formula baharu bagi memulihkan prestasi bola sepak
negara masih belum mencapai kata putus pada pertemuan antara Menteri
Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan exco Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), hari ini.
Khairy berkata beliau telah
membentangkan formula berkenaan kepada exco FAM pada pertemuan selama
satu jam selepas diperkenan oleh Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan
Ahmad Shah pada pertemuan minggu lepas.
Katanya, antara intipati formula
berkenaan adalah berkaitan kepimpinan dan hala tuju FAM serta
penglibatan semua pihak dalam membentuk masa depan bola sepak negara.
“Saya rasa secara spesifiknya keputusan
akan diumumkan pada 15 Ogos ini iaitu pada Mesyuarat Exco FAM. Saya rasa
penting untuk exco sendiri buat keputusan ini.
Cuma sekarang masih ada ketidaktentuan
berkenaan dengan kepimpinan FAM, yang mana semua sedia maklum presiden
telah mengumumkan hasrat beliau untuk bersara dari FAM jadi kami perlu
ada formula untuk bergerak ke hadapan,” katanya kepada pemberita di
pejabatnya, di sini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata exco FAM
menyambut baik segala pembentangannya mengenai formula baharu ini dan
jika anggota exco lain bersetuju, keputusan itu akan diumumkan pada
mesyuarat exco nanti.
Ditanya mengenai calon pengganti Tengku
Abdullah, Khairy berkata pengganti baginda adalah berdasarkan keputusan
perlembagaan iaitu melalui pemilihan pada Mesyuarat Kongres FAM.
Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi
Hamzah selepas perjumpaan bersama Khairy bagaimanapun tidak mendedahkan
secara terperinci isi formula yang dibincangkan itu.
“Dalam perjumpaan dengan menteri tadi,
beliau ada memberi beberapa pandangan dan kita saling bertukar pendapat
yang boleh diguna pakai untuk maju ke hadapan bagi kebaikan bersama,”
katanya.
Afandi berkata segala keputusan
berkaitan formula baharu, termasuk keputusan perletakan jawatan Presiden
FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan dimaklumkan selepas
mesyuarat exco bersidang. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.