HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Ogos 2016

Pilihan Raya Negeri mengejut yang tidak mengejutkan

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Tidak jadi kejutan. Strategi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang dirancang oleh DAP untuk mengalih perhatian pada isu kes rasuah Ketua Menterinya, Lim Guan Eng sudah berkubur.
 
Maka terlepaslah peluang bagi DAP untuk membuktikan ia adalah parti politik popular dan masih mendapat kepercayaan rakyat negeri itu untuk terus mentadbir. 
 
Ia juga membatalkan sasaran strategi songsang untuk 'melondehkan hasrat curang' parti Umno-BN yang cuba 'menganiaya' DAP dan Guan Eng dengan membuat tuduhan politik bersalut jenayah rasuah. 
 
Namun anehnya rakyat tidak terkejut dengan pembatalan itu. Mungkin majoriti rakyat sudah maklum tujuan mengadakan PRN itu sebenarnya adalah bertujuan 'terus mencemar' integriti musuh politik Pakatan Harapan (PH). 
 
Malah sebaliknya, pembatalan itu secara langsung mendedahkan kedudukan dan kekuatan sebenar PKR, DAP dan Amanah yang semakin lelah dan lemah.
 
Ahad lalu, Lim Guan Eng mengumumkan DAP tidak akan meneruskan PRN mengejut di negeri itu kerana tidak mendapat persetujuan rakannya, PKR.
 
Guan Eng berkata, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri memaklumkan kepada beliau berhubung keputusan pucuk PKR tidak mahu PRN diadakan. 
 
"Selepas dimaklumkan Azmin, saya mengadakan rundingan dengan pemimpin-pemimpin negeri dan juga nasional dan mereka setuju DAP tidak akan meneruskan cadangan tersebut," kata Guan Eng dalam sidang media. 
 
Sebelum ini, DAP berkeras mahu mengadakan PRN selepas Guan Eng terpalit tuduhan rasuah, apabila cuba menukar status tanah (zon pertanian kepada zon komersil) dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran. 
 
DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi di mana DAP menguasai 19 kerusi; PKR 10; BN, 10 dan PAS 1. Nampaknya status itu kekal hingga pilihan raya Umum ke-14.
 
Pakatan Harapan tak mampu lakar harapan
 
Natijahnya, strategi DAP itu tidak mengejutkan. Rakyat umumnya sudah dapat menilai bahawa ketiga-tiga komponen PH itu tidak mampu melakar harapan baru untuk rakyat negeri itu. 
 
Adalah nyata ikatan ketiga-tiga parti berkenaan longgar malah mencurigakan. Baru sahaja bertegang urat leher menjelang PRN Sarawak Mei lalu, kesepaduan mereka diuji di Pilihan Raya Kecil parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. 
 
PH kecundang ketiga-tiga pilihan raya dan menyerlahkan hakikat bahawa mereka menganuti pendekatan politik mereka yang bersilang dan meruncing. 
 

Yang ada pada PH ialah nostalgia bahawa tiga tahun lalu mereka hampir menumbangkan Umno-BN apabila meraih lebih 51 peratus undi popular dalam pilihanraya umum (PRU) ke 13.
 
Namun anehnya, dalam PRN Sarawak mereka bertembung sesama sendiri – PKR lawan DAP dan Amanah juga cuba bersaing dengan rakan PKR iaitu PAS.
 
Pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar PKR gagal memujuk PAS supaya jangan bertanding menentang rakan mentah mereka, Amanah. Ini berlaku kerana PKR sendiri bernafsu mahu meletakkan calon di Sungai Besar.
 
Ketika pameran ego dan silang pendapat di antara PKR dan DAP memuncak, tiba-tiba DAP mahu mengajak PKR mengadakan PRN Pulau Pinang. 
 
DAP yakin bahawa ia popular di Pulau Pinang. Bagaimanapun keyakinan itu tidak melebar dalam jiwa kepimpinan PKR. Malah mereka gerun akan kehilangan sebilangan besar daripada 10 kerusi yang dimiliki sekarang.
 
PKR gusar kemampuan sendiri
 
PKR amat insaf akan kedudukannya ketika ini di Pulau Pinang. Jika DAP meneruskan juga hasrat mengadakan PRN maka nasib PKR bolehlah diibaratkan 'bak melukut di tepi gantang'.
 
PKR tanpa berselindung dikatakan meminta DAP menukar beberapa kerusi dewan undangan negeri yang selamat yang dimiliki DAP bagi sekurang-kurangnya mengekalkan bilangan kerusi miliknya.
 

Perkara ini tidak sukar dibaca hingga Umno Pulau Pinang yang mendakwa PRN gagal dilaksanakan kerana PKR tidak yakin mampu mempertahankan kubu kuatnya di dalam parlimen Permatang Pauh di mana ia memiliki dua kerusi DUN. 
 
Menurut ADUN Pulau Betong Muhamad Farid Saad, PKR gusar dengan kemampuan Amanah yang dirasakan tidak mampu menandingi sokongan kuat yang pernah diberikan PAS kepada PKR sebelum ini.
 
"PKR minta dua kerusi DAP dan begitu juga dengan DAP sebab DAP rasa mereka lebih kuat dan PKR lemah sekarang ini. PKR pun beranggapan kalau mereka bertanding ada beberapa kerusi mereka akan kalah.
 
"Sebab itu PKR minta kerusi DAP di kawasan-kawasan Cina, ketidakyakinan PKR sebenarnya yang membuatkan mereka membantah. Mereka yakin kalau masuk bertanding PKR akan kalah.
 
"Kebanyakan kerusi PKR adalah ada ramai Melayu berbanding DAP kawasan Cina, bila ada elemen Melayu, ini yang digusarkan PKR kerana Amanah tidak begitu menyeluruh di kawasan kuat PAS," katanya.
 
PKR tundukkan ego DAP
 
 Dalam pada itu, Farid melihat pembatalan pilihan raya itu sebagai satu kejayaan PKR menundukkan ego Setiausaha Agung DAP itu. 
 
"PKR berjaya mengekang ego Guan Eng. Sebelum ni Guan Eng selalu kata hak untuk bubar atas diri dia dan persetujuan TYT tapi dia lupa rakan kongsi dalam PH. 
 
"Sekarang PKR berjaya menegur dan mengekang dan menjadi satu tamparan kepada Guan Eng," katanya lagi. 
 
Apabila PKR sudah pesimis akan kemampuan politiknya ketika ini, ia menggambarkan betapa DAP pada mulanya mempamerkan kurang rasa belas terhadap rakannya (PKR) yang sedang bergelut  masalah rumahtangganya.
 
Apabila PKR berulang kali menyuarakan kurang yakinnya, barulah DAP membaca mesej bahawa jika ia (DAP) menang besar sekalipun, itu tidak akan membawa petanda baik untuk PH di masa hadapan. 
 
Justeru buat masa ini eloklah Guan Eng mengumpul keberanian untuk menghadapi tuduhan jenayah rasuah terhadapnya dan mengukuhkan DAP dengan menamakan penggantinya jika beliau didapati bersalah. 
 
 

Tiada ulasan: