KUALA LUMPUR: Pihak polis akan mula menyiasat sampul surat bertanda “Ancaman IS” yang diterima sebuah balai polis di Seremban, hari ini.
Difahamkan,
surat ancaman tersebut turut dikepilkan sekali gambar Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Antara
gambar-gambar lain yang dipercayai turut berada di dalam sampul itu
adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Peguam Negara, Tan
Sri Mohamad Apandi Ali; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr
Salleh Said Keruak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Azalina Othman Said; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Juzlan Mohamed dan
Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi.
Memetik laporan The Star, surat ugutan tersebut mendakwa mereka mempunyai seramai 700 ahli IS di Negeri Sembilan.
Pengirim dipercayai cuba menunjukkan pengaruh kumpulan terbabit di negeri berkenaan kepada pihak polis.
Menurut
Ketua Polis Negara pula, surat itu dihantar secara pos dan katanya
pihak polis akan menyiasat asal usul surat tersebut bagi mengenal pasti
identiti individu yang menghantarnya.
“Surat ini dipercayai dihantar kepada beberapa balai polis di Negeri Sembilan termasuklah Port Dickson dan Nilai.
“Motif mereka menghantar surat ini masih belum jelas kerana ia turut menyatakan nama pemimpin luar negara,” katanya.
Tegas
Khalid lagi, pihak polis tidak akan memandang ringan perkara ini dan
akan menyiasat individu yang terlibat dengan lebih mendalam.
“Ancaman ini bagaimanapun tidak akan melemahkan semangat kita (anggota polis) untuk meneruskan tugas seperti biasa,” ujarnya.
Sebelum
ini, satu video IS memaparkan seorang rakyat Malaysia yang berasal dari
Negeri Sembilan, memberi amaran bahawa pengganas akan menyerang anggota
polis.
“Kepada mereka yang berada di bukit-bukit yang aman, ketahuilah kalian tidak akan aman sebentar lagi.
“Kami
akan pulang untuk menyerang kalian ataupun sahabat-sahabat kami yang
berada di sana, insya-Allah akan memenggal leher-leher kalian,” kata
lelaki di dalam video itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Mohd
Rafi Udin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.