shahbudindotcom
Dengan
tidak semena-mena, tanpa angin dan tanpa ribut, tiba-tiba saja Ketua
Pengarah Pilihanraya Pas, Mustaffa Ali tampil mencadangkan agar
parti-parti pembangkang mencari formula pertandingan satu lawan satu
menentang BN menjadi kenyataan dalam PRU 14 akan datang.
Kata
beliau, berdasarkan kajian dan analisis Jabatan Pilihanraya Pas atau
JPP Pusat, pertandingan satu lawan satu adalah cara terbaik untuk
menghilangkan kuasa BN yang memerintah negara sekarang ini.
"Kalau pertandingan melawan BN lebih daripada satu lawan satu, ia memberi laluan mudah untuk BN terus berkuasa.
"Ini
tidak bagus kerana akan menjadikan UMNO dan BN lebih angkuh serta terus
melakukan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang melemaskan
rakyat," katanya lagi.
Apakah saranan ini merupakan kesedaran Mustaffa Ali dan JPP Pusat saja atau kesedaran yang sudah menyelinap ke dalam diri seluruh pimpinan Pas, termasuk Hadi Awang dan juga Dr Haron Din?
Sesungguhnya
apa yang diperkatakan oleh Mustaffa Ali itu bukanlah perkara baru atau
asing bagi parti-parti pembangkang dalam Pakatan Harapan serta di
kalangan rakyat yang inginkan perubahan.
Pakatan
Harapan telah melontarkan idea pertandingan satu lawan itu ketika
pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar dulu lagi berikutan
sedar bala daripada pertandingan tiga penjuru dalam pilihanraya negeri
Sarawak sebelum itu.
Tetapi, siapakah yang awal-awal menolak untuk berkompromi?
Siapakah
yang beria-ia mengatakan Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah kerusi
tradisi milik mereka yang kononnya telah ditandingi sejak merdeka lagi,
walaupun tidak pernah memenanginya?
Jika
Pas ingin merealisasikan formula pertandingan satu lawan satu menentang
BN menjadi kenyataan, yang paling awal perlu mereka dilakukan ialah
sentiasa berlapang dada, berunding dengan kepala yang dingin dan jangan
meletakkan syarat-syarat tertentu sebelum perundingan dimulakan.
Dalam
suasana sekarang, kiranya benar ada semangat untuk bekerjasama, ingin
pertandingan satu lawan satu dan betul-betul mahu menumbangkan BN, Pas
harus menerima realiti yang ada di depan mata iaitu DAP dan Amanah ialah
sebahagian daripada Pakatan Harapan serta menyambut baik kehadiran
parti baru tajaan Tun Mahathir Mohamad.
Pas
tidak boleh misalnya, hanya ingin bekerjasama dengan PKR sahaja, tetapi
enggan sama sekali duduk semeja berunding atau berkompromi dengan DAP
dan Amanah.
Begitu
juga, Pas tidak boleh jika hanya mahu bekerjasama dengan PKR serta
parti baru Tun Mahathir semata-mata, sebaliknya bertindak membelakangkan
DAP dan Amanah.
Berdasarkan
realiti politik semasa dan komposisi pelbagai kaum dalam negara,
kehadiran semua parti haruslah diterima seadanya, dihormati dan dengan
berlapang dada.
Soal
perbezaan ideologi dan pembahagian kerusi mesti ditangani dengan
sebaik-baiknya, kiranya benar UMNO dan BN adalah musuh utama yang mahu
ditumbangkan dan rakyat ingin dibela.
Jika
dilihat berdasarkan senario di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Pakatan
Harapan memang sedia untuk berbincang bagi mencari formula agar
pertandingan satu lawan satu menjadi kenyataan, malangnya ketika itu Pas
yang lebih berkeras untuk meletakkan calon di kedua-dua kerusi tersebut
tanpa mahu berganjak walau sedikit pun.
Maka
itu, untuk PRU 14 akan datang, formula sebenar bagaimana merealisasikan
pertandingan satu lawan satu itu lebih banyak terletak kepada Pas.
Pakatan Harapan dan parti baru Tun Mahathir barangkali lebih terbuka
dalam perundingan dan perbincangan kerana yang utama bagi mereka ialah
UMNO dan BN dapat dikalahkan.
Jika
Pas sedia melembutkan hati sendiri, menerima realiti dalam bekerjasama
dan tidak terlalu keras untuk tetap bertanding di semua kerusi tradisi,
termasuk kerusi tradisi kalah, hasrat satu lawan satu menentang BN dan
kemudian sama-sama menubuhkan kerajaan lebih mudah untuk dicapai.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan