Keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membatalkan cadanganya mengadakan pilihan raya negeri mengejut adalah bukti semangat konsensus yang diamalkan oleh Pakatan Harapan.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata pembubaran DUN negeri itu dibatalkan kerana perbezaan pendapat partinya dengan PKR berhubung cadangan itu.
“Keputusan membatalkan pilihan raya negeri kerana tidak ada persetujuan dari PKR terbukti perjanjian Pakatan Harapan yang ditandatangani pada tahun 2015 adalah mengikat dan wajib diikuti oleh semua parti, sama ada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
“Berdasarkan kepada perjanjian tersebut, semua keputusan dasar wajib mendapat persetujuan ketiga-tiga parti dan DAP telah membuktikan DAP akur & patuhi perjanjian tersebut.
“Teladan baik ini harus diberi penghargaan dan adalah wajib untuk diikuti oleh semua komponen parti Pakatan Harapan pada masa depan,” kata Nga dalam satu kenyataan.
Beliau juga membidas BN dengan berkata keputusan untuk menggugurkan cadangan pilihan raya itu membuktikan bagaimana Pakatan Harapan berbeza dengan parti pemerintah.
“Dalam BN, Umno membuat keputusan muktamad tanpa merujuk dan mempedulikan pandangan 12 komponen parti yang lain termasuk mengizinkan pembentangan rang undang-undang persendirian yang dikemukakan oleh PAS,” katanya.
Nga berkata amalan konsensus akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan kerana terbukti wujud sistem imbang dan periksa kuasa dari segi dalaman pakatan pembangkang.
“Saya menyeru sekretariat Pakatan Harapan dengan kadar segera menggubal dasar bersama dan mengatur program bersama ketiga-tiga parti supaya Pakatan Harapan dapat diperkukuhkan dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat pusat,” katanya.
Semalam, Lim mengumumkan bahawa DAP membuat keputusan untuk tidak meneruskan rancangannya untuk mengadakan pilihan raya mengejut.
Lim sebelum ini menegaskan bahawa keputusan muktamad bergantung kepada kata sepakat di kalangan rakan Pakatan Harapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan